Kasat Greenwave Market semai amalan hijau, perkasa keusahawanan

17 Nov 2026 - 5:00am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Ihsan Sekolah Rendah Kasat

KAMPUNG KASAT, Isnin, 16 November. - Usaha memupuk semangat keusahawanan, kreativiti dan kesedaran terhadap kepentingan amalan hijau dalam kalangan generasi muda terus diperkasakan melalui penganjuran Kasat GreenWave Market yang bertemakan 'From Our Garden to Your Table'.

Berlangsung di Dewan Al-Bayyinah, Sekolah Rendah (SR) Kasat, program berkenaan turut menampilkan Kasat Kidspreneur iaitu aktiviti jualan hasil kebun yang diusahakan oleh para murid dan guru SR Kasat.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Kasat, Awang Haji E'riffin bin Haji Mohd. Yussof. Kira-kira 100 orang terdiri daripada ibu bapa, murid-murid SR Kasat serta penduduk Kampung Putat dan kawasan sekitarnya turut menyertai dan memeriahkan aktiviti berkenaan.

Menariknya, Kasat GreenWave Market dibahagikan kepada tiga pondok utama yang mengetengahkan pelbagai jenis tanaman dan hasil kebun.

Pondok 'A' mempamerkan tanaman daun kesum, pudina (mint), daun kari dan bunga telang, manakala Pondok 'B' mengetengahkan lidah buaya (Aloe Vera) dan oregano. Sementara itu, Pondok 'C' menampilkan tanaman pandan, serai dan daun bawang.

Selain jualan hasil kebun, pondok-pondok berkenaan turut menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman, sekali gus menambah kemeriahan suasana pasar serta menarik minat para pengunjung.

Penganjuran aktiviti Kasat Kidspreneur bukan sekadar memberikan peluang kepada murid-murid untuk merasai pengalaman mengendalikan jualan, malah menjadi platform pembelajaran secara praktikal dalam membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi dan memahami asas keusahawanan.

Di samping itu, program berkenaan turut bertujuan menggalakkan penggunaan hasil kebun dan produk keluaran murid-murid, di samping menerapkan amalan mesra alam serta mengurangkan pembaziran dan sisa.

Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti tersebut, murid-murid juga berpeluang memupuk nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, disiplin, kerjasama dan integriti.

Inisiatif seumpama ini diharap akan dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja kreatif dan berdaya saing, malah mempunyai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta mampu mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.