Oleh : Aimi Sani
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 November. - Lebih 35 buah syarikat atau vendor, yang terdiri daripada para pengusaha belia dan peniaga tempatan menyertai Karnival Keusahawanan Pusat Pembangunan Belia (Youth Development Centre Carnival - YDC Carnival) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 November 2026 bertempat di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
Penganjuran YDC Carnival 2026 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Pusat Pembangunan Belia (PPB) untuk memperluas peluang kepada para belia dan usahawan tempatan menerusi platform pop-up market.
Platform ini bertujuan menyokong pembangunan keusahawanan, di samping memberi ruang kepada para usahawan untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan, berinteraksi dengan pelanggan serta meneroka peluang perniagaan.
Sebagai persediaan untuk menjayakan projek tahunan seperti YDC Carnival, para pelatih Program Pembangunan Belia Sesi 2026 telah mengikuti Kelas Asas Keusahawanan yang merangkumi pembelajaran mengenai asas perakaunan, pengurusan kewangan dan pengendalian perniagaan.
Majlis Pelancaran YDC Carnival 2026 telah dirasmikan oleh tetamu kehormat majlis, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim. Juga hadir, Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.
Pada karnival keusahawanan kali ini, pelatih PPB melalui Vigorous Youth Event Management, iaitu sebuah syarikat yang dikendalikan sendiri oleh para pelatih telah memberikan perkhidmatan pengurusan acara (event management) kepada vendor tempatan.
Inisiatif ini bertujuan untuk mempelbagaikan projek keusahawanan yang melibatkan para belia dan pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini, sekali gus menyediakan peluang untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menjadikan bidang pengurusan acara (event management) sebagai salah satu bidang pengkhususan (niche) yang berpotensi menjana pendapatan melalui penyediaan perkhidmatan berkualiti serta menarik minat para belia, khususnya mereka yang baru menceburi bidang keusahawanan untuk terus berdaya saing, di samping menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang tersebut.
Dalam konteks pembangunan ekonomi negara, pengukuhan PMKS merupakan antara elemen penting dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih produktif, berdaya tahan dan berdaya saing.
YDC Carnival 2026 berpotensi menyumbang kepada agenda tersebut dengan menyediakan platform yang menghubungkan usahawan, pengguna dan pihak berkepentingan, di samping menggalakkan budaya keusahawanan dalam kalangan belia di negara ini.
Pelbagai jualan turut diadakan sepanjang karnival ini, termasuk makanan dan minuman, gerai jualan sementara (pop-up vendors), produk seni kreatif, aksesori dan pakaian (apparel).
Selain itu, pelbagai perkhidmatan dan aktiviti turut disediakan, antaranya perkhidmatan terapi kecantikan, jahitan dan sulaman (embroidery), penyelenggaraan dan pembaikan alat penyaman udara serta pembaikan paip.
Aktiviti lain termasuk pembuatan trek permainan kereta kawalan jauh (remote control crawler) menggunakan bahan teknikal, pertandingan Beyblade untuk orang ramai serta persembahan tausyeh dan nyanyian. Aktiviti-aktiviti tersebut turut mengetengahkan hasil produk dan kemahiran yang diperoleh melalui latihan para pelatih PPB.
Melalui YDC Carnival 2026, orang ramai berpeluang menyokong usahawan tempatan dengan mengenali, mendapatkan dan menggunakan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke karnival keusahawanan ini dari 26 hingga 29 November 2026, mulai pukul 4.00 petang hingga 10.00 malam di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.