Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
LUMAPAS, Jumaat, 27 November. – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas ‘B’ petang tadi mengadakan Sesi Muzakarah Ketua Kampung Lumapas ‘B’ bersama penerima bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB) Kampung Lumapas ‘B’, bertempat di dewan Sekolah Ugama Lumapas.
Hadir mempengerusikan sesi muzakarah berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, juga Ketua Kampung Lumapas ‘B’, Daerah Brunei dan Muara’.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Awang Mohammad Ali, yang antara lain menyatakan tujuan muzakarah diadakan adalah untuk mengenal pasti penerima sebenar yang memerlukan bantuan dan memastikan bantuan tersebut sampai kepada penerima yang benar-benar layak.
Di samping itu kata Yang Berhormat lagi, untuk mengemas kini data pemohon dan penerima. Data yang lama, tidak lengkap atau tidak dikemas kini akan menyukarkan urusan dan boleh menyebabkan permohonan tertangguh atau tidak diluluskan.
“Ketiga, untuk mengenal pasti isu permohonan. Kalau ada permohonan yang ditolak, dokumen tidak lengkap, atau ada perubahan keadaan keluarga, inilah masanya untuk kita bincang dan cari jalan penyelesaian.
“Keempat, untuk pengisian borang kajian. Borang ini sangat penting. Ia akan menjadi rujukan kepada pihak JAPEM, JUZWAB dan pihak kampung untuk menilai keperluan sebenar setiap keluarga,” ujar Yang Berhormat lagi.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi muzakarah bersama para penerima bantuan dan ahli-ahli MPK.