Mendukung usahawan tempatan melalui promosi produk, perkhidmatan

28 Nov 2026 - 6:35am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

TEMBURONG, Jumaat, 27 November. – Dalam usaha memeriahkan suasana di Daerah Temburong, di samping menyokong penganjuran Brunei December Festival Ke-10 serta mengetengahkan keunikan, keindahan dan potensi daerah berkenaan sebagai destinasi pilihan, Program 'Ke Temburong Bisai' Edisi Brunei International Bike Gathering (BIBG) 2026 x Brunei City Festival (BCF) Tour 3.0 telah diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Program berkenaan dianjurkan oleh Majlis-majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Temburong, Persatuan-persatuan Motosikal Negara Brunei Darussalam dan Riza Fudhlana Management Services, dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong.

Majlis Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku tetamu kehormat majlis, bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, petang tadi.

Turut hadir, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Antara objektif utama program berkenaan adalah untuk meningkatkan pendapatan pengusaha dan peniaga tempatan melalui peluang jualan serta promosi produk dan perkhidmatan.

Program berkenaan juga memberi ruang kepada pengusaha tempatan, termasuk pengusaha Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), untuk memperkenalkan produk masing-masing, selain menarik penyertaan peminat motosikal dan komuniti permotoran dari dalam dan luar negara.

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang program berkenaan berlangsung, antaranya aktiviti perekonomian BCF Tour2026, penyertaan Majlis-majlis Perundingan Kampung Daerah Temburong, pameran jabatan- jabatan kerajaan dan Persatuan-persatuan Motosikal Negara Brunei Darussalam, persembahan pentas, walkaton, Green Jewel Ride, glamping serta aktiviti Tarik Kalat Santai.

Program 'Ke Temburong Bisai' Edisi BIBG 2026 x BCF Tour 3.0 berlangsung selama lima hari, bermula 25 hingga 29 November 2026, dari pukul 10.00 pagi, bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar.

Penganjuran program berkenaan diharap akan terus menggalakkan penglibatan masyarakat dan pengusaha tempatan, sekali gus mempromosi Daerah Temburong sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai daya tarikan tersendiri.