Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. – Operasi Kakas Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) 2026 terus giat dilaksanakan oleh Penguatkuasa Undang-Undang Cawangan Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait bagi membendung pesalah-pesalah imigresen di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Lima operasi penguatkuasa undang-undang telah dilaksanakan dengan menyasarkan kawasan di Daerah Brunei dan Muara dan Kuala Belait.
Operasi Kakas 125/2026 telah menyasarkan premis perniagaan di Mukim Gadong ‘B’. Dalam operasi berkenaan, seramai 10 warganegara asing telah diperiksa, tiga daripadanya ditahan dan seterusnya dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.
Dua wargangeara asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja menggunakan pas lawatan. Sementara itu, seorang lagi yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Semasa Operasi Kakas 127/2026 yang menyasarkan rumah sewa di Mukim Kilanas telah mendapati lapan warganegara asing telah diperiksa, tiga daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.
Seorang warganegara asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 6(1)(C), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai Pas Imigresen yang sah. Manakala seorang lagi warganegara asing telah gagal untuk mengemukakan dokumen yang sah sepertimana yang di bawah Bab 55(4)(A)(B)(C), Akta Imigresen, Penggal 17.
Sementara itu, seorang lagi yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 6(1)(C), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai Pas Imigresen yang sah dan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 36, Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu masuk semula ke negara ini setelah diusir secara sah.
Seterusnya Operasi Kakas 128/2026 yang menyasarkan kawasan sekitar Mukim Liang telah mendapati dua warganegara asing telah diperiksa dan ditahan kemudian dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.
Seorang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja dengan majikan lain. Manakala seorang lagi yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 kerana tinggal lebih masa di negara ini setelah Pas Imigresen mansuh dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 35(1), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bersubahat melakukan kesalahan imigresen.
Dalam Operasi Kakas 129/2026 yang dilaksanakan di kawasan sekitar Mukim Liang telah mendapati tiga warganegara asing telah diperiksa dan dua telah ditahan, seterusnya dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.
Seorang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja dengan majikan lain dan Peraturan 15(3), Penggal 17, iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport. Manakala seorang lagi yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 35(1), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bersubahat melakukan kesalahan imigresen.
Semasa Operasi Kakas 130/2026 yang menyasarkan kawasan sekitar Mukim Belait, dua warganegara asing telah diperiksa dan ditahan serta dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.
Kedua-dua warganegara asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja dengan majikan lain dan Peraturan 15(3), Penggal 17, iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.