Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Pengembangan Da'wah dengan kerjasama Majlis Perwakilan Kampung (MPK) Kampung Bebuloh dan Sekolah Rendah Bebuloh mengadakan Program Kembara Ilmu : Dakwah Mendekati Generasi bertempat di Sekolah Rendah Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada program tersebut ialah Pemangku Pengarah PDI, KHEU, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman.
Program ini merupakan salah satu inisiatif pendekatan dakwah berasaskan komuniti yang bertujuan untuk mendekatkan PDI dengan masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti yang santai, interaktif dan bersesuaian dengan perkembangan semasa.
Program ini turut memberikan penekanan kepada penglibatan golongan mualaf, masyarakat bukan Islam, penduduk kampung, kanak-kanak serta generasi muda melalui pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen sukan ria, rekreasi dan pendidikan.
Antara pengisian program termasuklah permainan sukan berkumpulan, aktiviti perpustakaan, pertandingan menulis Jawi, pertandingan mewarna, teka silang kata serta kuiz ilmu.
Selain itu, program berkenaan turut menyediakan ruang kepada para usahawan mualaf untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing melalui penyediaan gerai jualan.
Melalui penganjuran program ini, hubungan silaturahim, persefahaman dan kerjasama antara PDI dengan masyarakat setempat diharap dapat diperkukuhkan, khususnya dalam membina hubungan yang lebih dekat dengan golongan mualaf dan masyarakat bukan Islam.
Penganjuran program ini juga mencerminkan pendekatan dakwah bil-hal iaitu menyampaikan mesej Islam bukan sahaja melalui kata-kata, bahkan melalui contoh teladan, akhlak, kebersamaan, sikap prihatin serta hubungan kemasyarakatan yang harmoni.
Selaras dengan tema 'Dakwah Mendekati Generasi', program ini membawa hasrat untuk mendekati masyarakat melalui ilmu, menyatukan melalui hubungan, membimbing melalui nilai dan membina melalui akhlak, sekali gus menjadikan pendekatan dakwah lebih dekat, mesra dan relevan kepada semua lapisan masyarakat.