Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BERAKAS, Khamis, 19 November. - Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) terus menghargai jasa bakti, dedikasi dan komitmen warga kerjanya dalam memperkukuh kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penganjuran Majlis Hari Penghargaan IBTE bagi Pesara dan Warga Kerja 2026.
Majlis tahunan yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di sini, bertujuan meraikan warga kerja yang bersara serta memberikan pengiktirafan kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi dan sumbangan cemerlang sepanjang tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal juga selaku Pengerusi Lembaga Pengelola IBTE.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Awang Haji Norjemee bin Jenek, dalam ucapan alu-aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja IBTE atas usaha, dedikasi dan komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Menurut beliau, setiap sumbangan tanpa mengira jawatan mahupun peranan mempunyai nilai dan kepentingan tersendiri dalam memastikan IBTE terus berkembang maju serta mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan khusus kepada warga kerja yang bersara atas jasa bakti, pengorbanan dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka yang telah memberikan kesan serta impak berpanjangan terhadap perkembangan institusi berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan beberapa pencapaian penting IBTE sepanjang tahun 2026 yang mencerminkan usaha berterusan institusi berkenaan dalam memperkukuh kecemerlangan TVET.
Antaranya termasuk pelancaran WorldSkills Brunei National Competition 2026 yang julung kalinya diadakan sebagai wadah mengetengahkan kemahiran, keupayaan teknikal serta kecemerlangan belia tempatan dalam bidang TVET.
Selain itu, IBTE turut menubuhkan IBTE Manufacturing & Innovation Centre (MIC) di IBTE Kampus Sultan Bolkiah sebagai inisiatif untuk memupuk budaya kreativiti, inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar serta tenaga pengajar.
Pusat berkenaan menyediakan ruang dan kemudahan bagi mengembangkan kemahiran praktikal dalam bidang pembuatan, menterjemahkan idea kepada produk serta meneroka potensi pengkomersialan produk yang dihasilkan.
IBTE juga telah menubuhkan Bahagian Perkembangan Tenaga Akademik (ASD) sebagai salah satu usaha strategik bagi memastikan pembangunan kompetensi tenaga pengajar dilaksanakan secara terancang, sistematik dan berterusan, selaras dengan keperluan kurikulum, piawaian pengajaran serta hala tuju Pelan Strategik IBTE 2025-2030.
Menurut beliau lagi, dalam menghadapi perubahan keperluan industri dan teknologi, seluruh warga IBTE perlu terus memperkukuh semangat kerjasama, saling menyokong serta menghayati nilai-nilai teras CREATE, iaitu Competence, Resilience, Excellence, Teamwork dan Innovative.
Beliau menekankan bahawa kekuatan sesebuah organisasi terletak pada semangat perpaduan, komitmen dan keupayaan warga kerjanya untuk bergerak ke arah matlamat bersama.
Sehubungan itu, IBTE akan terus memberikan tumpuan kepada pendigitalan dan kelestarian sebagai antara keutamaan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pekerjaan yang lebih cekap dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada pesara serta penerima Anugerah Pekerja Cemerlang. Majlis penghargaan berkenaan juga menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan profesional serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja IBTE.
Penganjurannya mencerminkan komitmen IBTE dalam memupuk persekitaran kerja yang positif dan saling menyokong, di samping memastikan setiap sumbangan warga kerjanya terus dihargai dalam usaha memperkukuh peranan institusi tersebut sebagai penyedia TVET yang terkemuka di Negara Brunei Darussalam.