Folklor tempatan diangkat melalui ‘patuturan’ warisan

15 Nov 2026 - 4:50am

Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Sejarah Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. – Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi menganjurkan Program Bicara Sejarah Tahun 2026 : Pertuturan Sebagai Sumber Sejarah Tradisi Lisan dengan membawakan tema ‘Meneroka Sejarah, Memelihara Warisan dan Memperkukuh Identiti’.

Program berkenaan diadakan di Dewan Jawatan Dalam, PSB, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, juga Penghulu Mukim Lumapas, Daerah Brunei dan Muara.

Program turut dihadiri oleh pengarah-pengarah, para pensyarah, pegawai dan kakitangan daripada sektor kerajaan dan swasta, ahli akademik, mahasiswa dan mahasiswi daripada institusi-institusi tinggi serta para pencinta dan peminat sejarah.

Sesi Bicara Sejarah menampilkan Pensyarah Program Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Awang Maslin bin Haji Jukim, sebagai pembentang.

Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang folklor, budaya, sastera rakyat dan sejarah lisan, termasuk penyelidikan mengenai ‘patuturan’ serta asal usul nama tempat di Negara Brunei Darussalam.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Dayang Nur Nadzmira binti Abdullah Julkifli selaku Moderator.

Program bertujuan untuk mengetengahkan folklor tempatan, khususnya ‘patuturan’ yang diwarisi daripada generasi terdahulu, di samping memperkenalkan cerita legenda dan mitos yang berkaitan dengan tempat-tempat bersejarah di NBD kepada orang ramai, terutama golongan belia.

Melalui perbincangan tersebut, kepentingan pertuturan dan sejarah lisan sebagai sumber dalam penyelidikan sejarah turut diketengahkan, khususnya dalam usaha mengumpulkan, mendokumentasikan dan memelihara cerita warisan masyarakat yang diwarisi secara turun-temurun.

Usaha tersebut amat penting memandangkan bilangan penutur dalam kalangan generasi tua semakin berkurangan. Tanpa usaha pengumpulan dan pendokumentasian yang berterusan, warisan tradisi lisan berkenaan berisiko mengalami kepupusan.

Dalam konteks NBD, ‘patuturan’ merujuk kepada himpunan cerita yang disampaikan secara lisan dalam kalangan orang tua-tua, merangkumi cerita berunsur mitos, legenda dan dongeng. Antara kandungannya termasuklah cerita mengenai asal usul nama tempat seperti kampung, bukit, sungai dan pulau yang mempunyai nilai warisan budaya serta kepentingan persejarahan.

Inisiatif tersebut selaras dengan peranan PSB sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei dalam usaha memelihara, mendokumentasikan dan menyebarluaskan khazanah sejarah serta warisan negara