Doa Tolak Bala bagi kesejahteraan nelayan, kelestarian marin

20 Nov 2026 - 6:02am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

JERUDONG, Khamis, 19 November. - Bagi memanjatkan doa dan sebagai salah satu usaha memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar kejadian air kemerah-merahan yang melanda perairan Negara Brunei Darussalam segera berakhir dan keadaan perairan negara kembali pulih seperti sediakala, petang tadi telah diadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah serta Doa Tolak Bala yang diselajurkan dengan Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah.

Majlis telah diadakan di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong. Majlis telah diungakayahkan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri melalui Jabatan Perikanan.

Hadir ialah Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

Majlis juga bertujuan untuk memohon perlindungan dan kesejahteraan bagi seluruh rakyat dan penduduk negara, khususnya komuniti nelayan serta pengusaha sektor perikanan, di samping memohon keberkatan agar segala usaha pemantauan dan pengawalan yang sedang dilaksanakan dipermudahkan demi memelihara keselamatan makanan, kelestarian sumber marin dan kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap KEPI, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian serta pegawai-pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan di bawah kementerian berkenaan.

Juga hadir, para nelayan, pengusaha akuakultur dan pengusaha-pengusaha sektor perikanan.

Jabatan Perikanan menyeru orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah dimaklumkan sebelum ini sepanjang kejadian air kemerah-merahan masih dikesan di perairan negara ini.

Ini termasuk larangan menangkap, menjual, membeli dan memakan spesies ikan kecil yang disenaraikan (Lampiran 1), iaitu aur-aur, tamban, basong-basong, pusu dan kuasi, termasuk bubuk dan semua jenis kerang-kerangan, serta ikan yang ditemui mati di kawasan perairan terjejas, berikutan risiko pencemaran toksin yang boleh menyebabkan keracunan kepada manusia.

Pada masa yang sama, para nelayan juga diingatkan supaya tidak menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan terjejas atau menjual spesies yang ditegah, termasuk melalui platform atas talian.

Selain itu, orang ramai juga adalah dinasihatkan untuk tidak mandi atau berenang di kawasan pesisir pantai yang terjejas.

Jabatan Perikanan akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap langkah kawalan yang ditetapkan demi melindungi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Sebarang laporan, pertanyaan atau maklumat berkenaan penjualan ikan-ikan yang ditegah, perubahan warna air atau penemuan ikan mati dalam jumlah yang banyak, bolehlah disalurkan melalui talian +673 2770068 pada waktu bekerja, Talian Hotline +673 8984526, atau e-mel ‘enquiry@fisheries.gov.bn’.