Doa Kesyukuran sempena Memperingati Sambutan 100 Tahun Perkembangan Penaziran

17 Nov 2026 - 5:04am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 November. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah telah mengadakan Majlis Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan 100 Tahun Perkembangan Penaziran di Negara Brunei Darussalam (NBD) bertempat di Rasa Ceria Café, Telanai Avenue, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah mantan Nazir Negara, Dato Paduka Haji Mohd. Suni bin Haji Idris, yang juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kenaziran Sekolah-Sekolah.

Majlis berkenaan merupakan acara kemuncak sambutan yang turut menjadi kesinambungan kepada beberapa aktiviti yang telah diungkayahkan sebelum ini, antaranya Majlis Penanaman dan Penyerahan 100 Anak Pokok kepada sekolah-sekolah kerajaan terpilih serta Acara Virtual on the Move.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Kenaziran Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Awang Haji Zainal Abidin bin Haji Kepli juga selaku Pengerusi Majlis menjelaskan bahawa Sambutan 100 Tahun Perkembangan Penaziran bermula dari tahun 1926 hingga tahun 2026, mencerminkan perjalanan panjang yang dibina melalui usaha dan pengorbanan beberapa generasi.

Menurut beliau, sambutan berkenaan bukan sahaja menjadi ruang untuk mensyukuri pencapaian yang telah diraih, malah turut memberi peluang untuk menghargai warisan perkhidmatan serta memperbaharui tekad dalam meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Sepanjang perkembangan tersebut, Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan dan meningkatkan kualiti pendidikan melalui penilaian sekolah, pemerhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran serta penyampaian maklum balas kepada pemimpin sekolah dan guru.

“Usaha berkenaan membantu pihak sekolah mengenal pasti kekuatan, memahami aspek yang memerlukan perhatian dan menentukan tindakan penambahbaikan,” jelasnya.

Kongsi beliau lagi, antara kemajuan yang wajar dihargai ialah perkembangan pendekatan penaziran yang semakin memberikan penekanan kepada bukti, penilaian kendiri dan tindakan susulan. Pengalaman yang terkumpul turut menjadi asas untuk memperkemas amalan penaziran agar terus sesuai dengan keperluan sekolah serta perubahan dalam pendidikan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para mantan nazir dan mantan kakitangan yang telah memainkan peranan dalam meletakkan asas perkhidmatan jabatan.

Beliau juga berharap agar Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah terus menjadi institusi yang berwibawa, berintegriti dan dipercayai dalam memberikan penilaian serta pandangan profesional. Setiap dapatan penaziran diharap dapat membantu sekolah memahami keutamaan mereka, manakala setiap saranan hendaklah jelas dan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada murid.

Beliau juga menekankan kepentingan warga jabatan untuk terus memperkukuh ilmu, kemahiran dan pertimbangan profesional. Perubahan dalam pendidikan menuntut kita untuk sentiasa belajar, menilai semula amalan dan menggunakan bukti dengan teliti. Pada masa yang sama, hubungan kerja yang saling menghormati dengan pemimpin sekolah, guru dan pihak berkepentingan perlu terus dipelihara.

Beliau turut berharap agar semangat kebersamaan antara generasi terdahulu dengan warga jabatan masa kini terus subur dengan pengalaman para mantan sebagai sumber pembelajaran yang berharga dan usaha warga yang sedang berkhidmat akan menentukan mutu perkhidmatan jabatan pada masa hadapan.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian sumbangan derma kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Pusat SMARTER Brunei.

Sambutan tersebut mencerminkan rasa kesyukuran atas pencapaian satu abad perkembangan penaziran di negara ini, di samping menghargai jasa generasi terdahulu serta mempererat silaturahim dan memperkukuh komitmen warga jabatan dalam mendukung usaha berterusan ke arah peningkatan kualiti pendidikan negara.

Turut hadir, 120 jemputan yang terdiri daripada warga dan mantan warga Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah.