DBM juara futsal SKBD Ke-V

15 Nov 2026 - 4:17am

Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman 

BERAKAS, Jumaat, 13 November. – Pertembungan dua pasukan yang mara ke peringkat akhir di antara Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dan Daerah Brunei dan Muara (DBM), menjadi tumpuan pada perlawanan akhir acara sukan futsal sempena Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, 2026 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi.

 

Perlawanan akhir berkenaan menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi penuh bertenaga, semangat juang yang tinggi serta corak permainan yang  menarik dalam usaha merebut kejuaraan dan seterusnya menambah kutipan pingat pada kejohanan sukan kebangsaan kali ini.

 

Pasukan DBM berjaya dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan MS ABDB dengan keputusan 2-0 sekali gus merangkul pingat emas, manakala pasukan lawan terpaksa akur di tempat kedua dengan pingat perak.

 

Seawal wisel permulaan, kedua-dua pasukan dilihat saling mengatur kedudukan dengan memperkemaskan corak serangan dan benteng pertahanan masing-masing bagi mencari peluang menghasilkan jaringan pembukaan.

 

Pasukan DBM mendahului jaringan gol pembukaan hasil rembatan Md Haziq Asnawi pada minit ke-9 separuh masa pertama dan seterusnya Md Adrian Zikry menambah lagi jaringan kedua pada minit ke-32 pada separuh masa kedua sekaligus melengkapkan kemenangan buat pasukan Daerah Brunei Muara.

 

Pasukan MS ABDB turut memperlihatkan kesungguhan dengan melancarkan beberapa serangan balas yang sekali gus menjadikan perlawanan semakin rancak dan mendebarkan tetapi pertahanan pasukan DBM terus bertahan dan menutup ruang. 

 

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik pasukan Daerah Belait selepas berjaya menewaskan pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga petang kelmarin.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Awang Mohammad Harris bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

 

Turut hadir menyasikan perlawanan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para jemputan. 

 

Penganjuran SKBD Ke-V Tahun 2026 antara lain bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam bidang sukan, memperkukuh semangat perpaduan dan kesukanan, serta menyediakan platform kepada para atlet untuk memperlihatkan bakat dan kebolehan masing-masing dalam suasana pertandingan yang kompetitif.

 

Selain itu, temasya sukan berkenaan turut berperanan sebagai wadah untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, di samping menyokong usaha berterusan ke arah pembangunan sukan negara serta pembudayaan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.