Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Arrurbada Impian
TEMBURONG, Isnin, 16 November. - Cabaran Arrurbada Impian 2026 yang menggabungkan aktiviti Trail Run dengan enam halangan mencabar berjaya menarik penyertaan sebanyak 14 pasukan, terdiri daripada 10 pasukan lelaki dan empat pasukan perempuan.
Penganjuran julung kalinya itu merupakan anjuran bersama Majlis Perundingan Mukim (MPM) Labu Temburong dan Ahli Jawatankuasa Arrurbada Impian Mukim Labu, bertempat di Taman Rekreasi dan Peranginan Arrurbada (Arrurbada Impian), Mukim Labu, Daerah Temburong.
Cabaran tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, mental dan emosi para peserta, malah turut menekankan aspek kerjasama berpasukan, disiplin, kesefahaman serta semangat setia kawan dalam menghadapi setiap rintangan yang disediakan.
Menggunakan laluan Arrurbada Trail, para peserta perlu menempuh enam halangan, dengan lima halangan ditempatkan di sepanjang laluan hutan, termasuk Rope Swing Obstacle dan Uphill Challenge. Halangan terakhir pula melibatkan aktiviti berkayak.
Menariknya, penentuan pemenang bukan hanya berdasarkan kepantasan masa untuk sampai ke garisan penamat, tetapi turut mengambil kira keupayaan setiap pasukan menyempurnakan kesemua enam halangan yang ditetapkan.
Bagi Kategori Lelaki, tempat pertama diraih oleh pasukan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Labu Estate dan Piasau-Piasau dengan catatan masa 14 minit 35 saat, diikuti MPK Senukoh di tempat kedua dengan 17 minit 48 saat, manakala MPK Bokok menduduki tempat ketiga dengan catatan 20 minit 38 saat.
Sementara itu, bagi Kategori Perempuan, pasukan MPK Belais dan Buda-Buda berjaya meraih tempat pertama dengan catatan masa 33 minit. Pasukan yang sama turut menduduki tempat kedua dengan catatan masa 49 minit, setelah berjaya menyempurnakan kesemua enam halangan yang disediakan. Tempat ketiga pula disandang oleh pasukan MPK Labu Estate dan Piasau-Piasau dengan catatan masa 29 minit.
Penyampaian hadiah bagi Kategori Lelaki disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, manakala hadiah bagi Kategori Perempuan disampaikan oleh Penghulu Mukim Zon 1, Awang Arbi bin Haji Shahari yang juga selaku Pengerusi MPM Labu.
Penganjuran Cabaran Arrurbada Impian 2026 merupakan antara usaha untuk mempelbagaikan kegiatan rekreasi dan riadah yang ditawarkan di Arrurbada Impian, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung untuk menikmati kemudahan serta aktiviti yang disediakan.
Adapun Arrurbada Impian mula diusahakan pada penghujung November 2025 sebagai inisiatif menyediakan ruang rekreasi, riadah dan aktiviti santai kepada orang ramai. Antara kemudahan yang tersedia termasuk kawasan ‘glamping’, junjung dan pondok rehat, Arrurbada Trail serta aktiviti memancing dan berkayak.
Melalui penganjuran seumpama ini, Arrurbada Impian diharap akan terus berkembang sebagai destinasi rekreasi yang berpotensi di Daerah Temburong, di samping menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta penduduk setempat.