Budaya membaca dipupuk, penguasaan bahasa, pemikiran kritis diperkasa

19 Nov 2026 - 6:18am

Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Menengah Awang Semaun

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. – Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS) baru-baru ini telah mengadakan World Literacy Day Celebration 2026, bertempat di Perpustakaan SMAS, dengan penglibatan pelajar Tahun 7 serta warga sekolah.

Hari Literasi Sedunia atau World Literacy Day disambut pada 8 September setiap tahun di seluruh dunia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan literasi sebagai asas kepada pembelajaran, pembangunan diri dan kemajuan masyarakat.

Selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan dalam memperkasa bahasa dan ilmu pengetahuan, SMAS telah menganjurkan sambutan tersebut melalui kerjasama Jabatan Bahasa Inggeris dan Jawatankuasa Reading Hubs.

Sambutan berkenaan bertujuan untuk memupuk budaya membaca, meningkatkan penguasaan bahasa serta mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar. Di samping itu, program tersebut diharapkan dapat menjadikan aktiviti membaca sebagai amalan yang berterusan dalam kehidupan seharian warga sekolah.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Mohd. Khalid Anuar bin Haji Ibrahim.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengetua SMAS, Awang Haji Mohd. Fadhillah bin Haji Ismail, yang menekankan bahawa literasi bukan sekadar keupayaan membaca dan menulis, malah merupakan asas penting dalam memperkasa pembelajaran, kreativiti, komunikasi serta kejayaan sepanjang hayat.

Beliau turut menyatakan bahawa melalui pembacaan, seseorang dapat meneroka dunia baharu, meluaskan pengetahuan serta mengembangkan daya imaginasi.

Awang Haji Mohd. Fadhillah juga berharap agar sambutan tersebut dapat memberikan inspirasi kepada para pelajar untuk mencintai aktiviti membaca, meneroka kreativiti dan berani mencungkil potensi diri, termasuk menghasilkan karya penulisan mereka sendiri pada masa hadapan.

Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan, Pauline Chan, yang telah menyampaikan sesi penceritaan bertajuk ‘Lucy’s Fantastic Flying Adventure’. Sesi tersebut memberikan peluang kepada para pelajar untuk menikmati pengalaman penceritaan yang menarik di samping menggalakkan minat mereka terhadap bahan bacaan dan dunia imaginasi.

Seterusnya, Pauline Chan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Journey of an Author’, yang memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai pengalaman dan perjalanan seorang penulis dalam menghasilkan karya. Sesi tersebut turut membuka ruang kepada para pelajar untuk mengemukakan soalan melalui sesi soal jawab bersama tetamu jemputan.

Sebagai tanda penghargaan atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan pengalaman, majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata.

Acara turut dimeriahkan dengan jualan buku dan sesi menandatangani buku oleh Pauline Chan, yang memberikan peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara lebih dekat bersama penulis serta mendapatkan bahan bacaan pilihan mereka.

Sambutan World Literacy Day Celebration 2026 diakhiri dengan harapan agar usaha berterusan dalam memupuk budaya membaca akan dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berfikiran kritis, kreatif dan mempunyai minat yang mendalam terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pauline Chan atas kesudian beliau menjayakan program tersebut, serta kepada para guru, pihak pengurusan sekolah, pustakawan dan Ahli Jawatankuasa Reading Hubs atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan sambutan berkenaan.