Bright Kids School raikan Majlis Konvokesyen dan Penghargaan Kali Ke-4

22 Nov 2026 - 5:56am

Siaran Akhbar dan Foto : Bright Kids School

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Bright Kids School meraikan satu detik bermakna menerusi Majlis Konvokesyen dan Penghargaan Kali Ke-4 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan COSMO, Jaya Setia Square, Berakas, hari ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Dr. Aziz Latip selaku tetamu kehormat yang turut menyampaikan penghargaan kepada 27 murid yang bakal melangkah ke alam persekolahan rendah.

Selain itu, lebih 30 murid turut menerima pengiktirafan menerusi 12 kategori anugerah yang diberikan bagi menghargai bakat, budi pekerti, usaha dan pencapaian masing-masing.

Turut hadir, Pengarah Urusan Bright Kids School, Nandakumar Sanmugam; Ketua Pegawai Eksekutif, Daniel Jeyasundrakumar; para pendidik dan kakitangan sekolah serta ibu bapa dan ahli keluarga para murid.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Aziz Latip memuji perkembangan Bright Kids School yang menunjukkan peningkatan jumlah pendaftaran murid dari tahun ke tahun.

Menurutnya, perkembangan berkenaan mencerminkan kepercayaan tinggi ibu bapa terhadap sekolah tersebut serta komitmennya dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti tinggi di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Beliau turut menekankan penerapan pendekatan HEI School yang diinspirasikan daripada sistem pendidikan Finnish, yang menggalakkan kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain, penerokaan, kreativiti dan penemuan.

Pendekatan tersebut katanya lagi, bukan sahaja membantu memupuk sikap berdikari dan keyakinan diri, malah turut membina kemahiran sosial yang penting sejak usia awal.

"Setiap kanak-kanak mempunyai keunikan tersendiri dan setiap pencapaian, walaupun kecil, wajar diraikan.

"Sesetengah kanak-kanak mungkin lebih menyerlah dalam bidang membaca atau Matematik, manakala yang lain pula memperlihatkan keistimewaan melalui kreativiti, sifat penyayang, kepimpinan atau keberanian mencuba sesuatu yang baharu.

"Apa yang lebih penting ialah usaha untuk terus mengiktiraf setiap pencapaian, mengembangkan bakat serta menyediakan kanak-kanak menjadi pelajar yang berkeyakinan dan berdikari," ujarnya lagi.

Sepanjang tahun akademik 2026, Bright Kids School turut memperkaya kurikulum pembelajarannya menerusi pelbagai pengalaman pembelajaran secara praktikal dan berasaskan situasi kehidupan sebenar, yang bertujuan memupuk semangat kerja berpasukan serta kemahiran kehidupan harian.

Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuk lawatan pembelajaran HEI ke Hua Ho OneCity yang memberikan peluang kepada murid untuk mengamalkan sikap berdikari serta meningkatkan kesedaran mengenai kemahiran praktikal dalam kehidupan seharian; Hari Sukan Tahunan dan lawatan ke Jungle Gym bagi menggalakkan kecergasan fizikal, semangat kerja berpasukan dan hubungan persahabatan dalam kalangan murid; dan Program Cuti Persekolahan bagi memupuk sifat ingin tahu serta menggalakkan penerokaan kreatif dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

Ketika menyampaikan pesanan kepada 27 graduan muda yang bakal melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya, Dr. Aziz Latip turut menitipkan tiga nasihat bermakna, iaitu supaya sentiasa bersikap baik, berani dan mempunyai sifat ingin tahu.

Beliau turut menggalakkan para pelajar agar terus meneroka ilmu, berkenalan dengan rakan-rakan baharu, mengemukakan pertanyaan serta, paling penting, menikmati setiap pengalaman sepanjang proses pembelajaran.

Dr. Aziz Latip turut merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa atas kepercayaan yang diberikan kepada Bright Kids School dalam membimbing anak-anak mereka sepanjang peringkat awal pendidikan. Penghargaan juga ditujukan kepada para guru dan kakitangan sekolah atas kesabaran, dedikasi serta komitmen mereka dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inspiratif dan menggalakkan perkembangan potensi setiap murid.