Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengadakan BIBD Mega Karnival 2026 – Siuk Bah! selama lima hari di Taman Mahkota Jubli Emas, yang menawarkan pengalaman baharu, pelancaran produk, peluang perniagaan, ganjaran, serta pelbagai aktiviti untuk masyarakat sepanjang lima hari acara berlangsung.
Pembukaan rasmi BIBD Mega Karnival 2026 – Siuk Bah! berkenaan dirasmikan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan BIBD.
Turut hadir, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah BIBD, Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), serta pihak pengurusan kanan dan pegawai-pegawai BIBD.
Kini memasuki tahun ketiga, BIBD Mega Karnival kembali dengan pengalaman yang lebih hebat, menghimpunkan para pelanggan, keluarga, perniagaan, dan masyarakat di tengah-tengah Bandar Seri Begawan (BSB), di ibu negara.
Pada tahun ini, para pengunjung berpeluang merasai pengalaman dunia di satu lokasi, melalui zon-zon bertema yang diinspirasikan oleh Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika, dan benua Amerika.
Sepanjang lima hari tersebut, pelbagai tawaran makanan, pengalaman membeli-belah, budaya, hiburan, dan aktiviti interaktif akan disajikan di tengah-tengah BSB. Karnival berkenaan turut menawarkan hadiah bernilai lebih BND300,000, di samping kempen-kempen BIBD, aktiviti kekeluargaan, dan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.
Para pengunjung boleh menyertai 'BMK Redemption', iaitu satu pengalaman kupon digital yang berkonsepkan ‘Bayar, Imbas, Putar dan Menang!’, dengan pembelian yang layak di vendor-vendor yang mengambil bahagian dalam memberikan pelanggan lebih banyak peluang untuk menikmati ganjaran.
Bukan itu saja, pertunjukan dron istimewa pada Sabtu, 21 November ini, bakal menjadi satu lagi acara kemuncak dalam sambutan selama lima hari tersebut.
Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, berkata BIBD Mega Karnival bertujuan untuk mewujudkan nilai yang melangkaui perbankan. Ia menghimpunkan para pelanggan, perniagaan, dan komuniti kita, di samping memberi peluang kepada mereka untuk memperkenalkan penyelesaian yang memenuhi keperluan gaya hidup, cara perjalanan, dan amalan perniagaan masa kini.
Melalui inisiatif seperti Kad Aman dan Akademi MSME BIBD, mereka berhasrat untuk menjadikan penyelesaian kewangan lebih mudah diakses, sambil membantu perniagaan tempatan membina asas yang lebih kukuh untuk pertumbuhan. Ini mencerminkan komitmen menyeluruh BIBD untuk menjadi Rakan Kemajuan (Partner in Progress) bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) dan rakyatnya.
Komitmen untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah tersebut terserlah melalui salah satu pelancaran utama karnival berkenaan, iaitu Program Kad Aman BIBD. BIBD dengan bangganya memperkenalkan dua tambahan menarik bagi kad kredit di bawah Program Kad Aman BIBD, iaitu BIBD Aman Visa Platinum dan BIBD Aman Platinum Mastercard.
Lebih daripada sekadar kad kredit, Aman melambangkan janji ketenangan fikiran, membolehkan pelanggan mengembara dengan penuh keyakinan, meneroka pengalaman baharu, dan menikmati setiap perjalanan dengan jaminan yang lebih baik. Diinspirasikan oleh maksud ‘Aman’ yang membawa erti ketenangan fikiran, Kad Aman BIBD menandakan satu lembaran baharu dalam komitmen BIBD untuk menyediakan pengalaman perbankan yang inovatif, mudah diakses, dan bermanfaat.
Sebagai program kad kredit pertama BIBD yang tertumpu kepada perjalanan, Aman direka khusus untuk menawarkan keyakinan, kemudahan, dan keselesaan yang lebih besar kepada pelanggan sepanjang perjalanan mereka. Ia juga menggabungkan keistimewaan perjalanan premium, ganjaran gaya hidup, dan perlindungan Takaful yang komprehensif dalam satu tawaran yang menyeluruh.
Selain menetapkan penanda aras baharu bagi inovasi dalam landskap pembayaran di NBD, Kad Aman memperkenalkan kad kredit pertama seumpamanya di NBD yang dilengkapi dengan lampu Light-Emitting Diode (LED) terbina dalam, yang akan menyala pada setiap transaksi tanpa sentuh (contactless). Inovasi unik tersebut mengubah urusan pembayaran harian menjadi satu pengalaman istimewa, sekali gus mengukuhkan komitmen BIBD untuk membawakan penyelesaian perbankan yang inovatif dan berorientasikan pelanggan ke pasaran.
Dengan had kredit bermula daripada BND2,000 berbanding had minimum BND4,000 yang lazimnya dikaitkan dengan kad kredit Platinum BIBD yang lain, Aman menjadikan keistimewaan perjalanan Platinum lebih mudah diakses oleh segmen pelanggan yang lebih luas.
Ini membolehkan lebih ramai pelanggan meneroka destinasi baharu, menikmati kemudahan yang lebih baik, serta merasai pengalaman perjalanan yang lebih bermakna. Pemegang kad bakal menikmati pengalaman perjalanan yang lancar dengan empat kunjungan percuma ke ruang istirahat lapangan terbang setiap tahun, elaun bagasi tambahan pada syarikat penerbangan terpilih, serta perlindungan Takaful yang komprehensif dengan merangkumi perlindungan Kemalangan Diri, Takaful Musafir, dan Perlindungan Pembelian.
Bagi memberikan nilai tambah yang lebih besar, pemegang kad juga boleh menikmati kadar penukaran istimewa apabila menukarkan Mata Ganjaran (Hadiah Points) kepada Royal Skies Miles, KrisFlyer Miles, dan AirAsia Points, sekali gus membuka peluang untuk mendapatkan nilai yang lebih tinggi bagi perjalanan mereka pada masa hadapan.
Selain reka bentuknya yang inovatif, pemegang kad Aman juga boleh menikmati tawaran dan diskaun eksklusif di seluruh dunia melalui Visa dan Mastercard, di samping keistimewaan perjalanan serta perlindungan Takaful komprehensif yang direka untuk memberikan ketenangan fikiran terhadap kejadian yang tidak dijangka.
Permohonan dibuka mulai 18 November 2026, selepas pelancaran rasmi di BIBD Mega Karnival. Pelanggan boleh menikmati pengecualian yuran tahunan selama lima tahun dan menerima tiga penyertaan dalam Aspirasi+; 50 pemohon pertama yang berjaya pula akan menerima cenderamata eksklusif Aman Travel. Tertakluk pada terma dan syarat.
Begitu juga dengan Akademi MSME BIBD yang merupakan program pembangunan perniagaan berstruktur yang ditujukan untuk usahawan serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan kerajaan yang berkaitan, Akademi berkenaan menggabungkan kepakaran kewangan dan perniagaan BIBD dengan usaha yang lebih luas untuk menyokong pembangunan perusahaan di negara ini.
Matlamatnya adalah untuk membekalkan usahawan dengan pengetahuan praktikal dan peralatan yang dapat membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik, mengukuhkan perniagaan, serta bersedia untuk pertumbuhan yang mampan. Akademi tersebut memahami bahawa setiap perniagaan berada pada peringkat perjalanan yang berbeza, justeru memerlukan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan dan aspirasi khusus mereka.
Oleh itu, laluan 'Foundation' (Asas) disediakan untuk individu yang mempunyai idea perniagaan, perniagaan berasaskan rumah, perniagaan mikro, perniagaan di peringkat awal, atau perniagaan yang telah matang yang ingin melakukan penilaian menyeluruh terhadap perniagaan mereka.
Laluan 'Growth' (Pertumbuhan) pula ditujukan bagi perniagaan yang telah mempunyai asas yang kukuh dan bersedia untuk memperkuat operasi serta berkembang lebih jauh, manakala laluan 'Expansion' (Pengembangan) menyokong perniagaan yang menyasarkan pasaran, produk, cawangan, atau saluran perniagaan baharu.
Sebanyak 10 pengambilan dirancang sepanjang 2027, yang merangkumi lima sesi 'Foundation', iaitu tiga sesi 'Growth', dan dua sesi 'Expansion'. Setiap pengambilan boleh menampung sehingga 50 peserta. Satu pengambilan 'Foundation' dalam bahasa Melayu turut dirancang khusus untuk peserta terpilih daripada program '1 Kampung 1 Produk' (1K1P), sekali gus memperkukuh hubungan antara akademi tersebut dengan usaha nasional dalam menyokong usahawan tempatan serta perniagaan berasaskan komuniti.
Fokus utama program tersebut adalah bersifat praktikal. Para peserta akan menumpukan perhatian kepada perniagaan mereka sendiri, dengan menggunakan rangka kerja berpandu untuk meneliti aspek pelanggan, kewangan, operasi, peluang pertumbuhan, dan hala tuju masa depan.
Menjelang akhir program, setiap perniagaan akan menghasilkan kertas strategi praktikal atau pelan tindakan sendiri sebagai panduan bagi peringkat pembangunan seterusnya. Akademi tersebut juga akan menggalakkan usaha formalisasi dan pendigitalan yang lebih meluas.
Para peserta akan diperkenalkan dengan penyelesaian perniagaan BIBD, termasuk Akaun MSME BIBD, QuickPay, dan BizNet, serta boleh dirujuk kepada Pengurus Perhubungan (Relationship Manager) untuk pertimbangan pembiayaan, sekiranya bersesuaian. Pendaftaran dibuka semasa acara BIBD Mega Karnival melalui reruai Bahagian MSME BIBD.
Sementara itu, pembukaan Mega Karnival berkenaan turut menandakan satu bab baharu bagi BIBD At-Tamwil Berhad, yang memperkenalkan logo korporat serta identiti jenama yang telah disegarkan. Identiti baharu tersebut telah dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan BIBD.
Dengan menampilkan slogan baharu, ‘Where Smart Financing Begins’, identiti yang diperbaharui tersebut mencerminkan transformasi berterusan BIBD At-Tamwil ke arah menjadi sebuah institusi kewangan yang lebih moden, berorientasikan pelanggan, dan dipacu oleh teknologi digital, di samping mengekalkan hubungan yang kukuh dengan Kumpulan BIBD secara keseluruhan.
Sehubungan itu, BIBD menjemput orang ramai untuk hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi meneroka pengalaman baharu, menyokong perniagaan tempatan, serta memeriahkan BIBD Mega Karnival 2026 – Siuk Bah!, yang akan berlangsung dari 18 hingga 22 November 2026 di Taman Mahkota Jubli Emas.
Lebih penting lagi, karnival berkenaan mencerminkan peranan BIBD sebagai 'Rakan dalam Kemajuan' (Partner in Progress), dengan memanfaatkan platform dan perkongsiannya untuk menyatukan orang ramai, memperkukuh perusahaan tempatan, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial jangka panjang NBD.