Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Isnin, 16 November. - Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam pagi tadi mengadakan Majlis Pembukaan Rasmi Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Schools Games 2026 - BDSG 2026) Kali Ke-3, bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pembukaan rasmi kejohanan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Atur cara dimulakan dengan perbarisan masuk kontinjen dan pegawai-pegawai teknikal, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan'.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama Majlis, Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad / Mohamat, diikuti dengan persembahan koir Lagu Rasmi BDSG.
Majlis seterusnya menyaksikan bacaan Ikrar Sukan oleh wakil atlet pelajar bersama Ketua Teknikal BDSG Kali Ke-3, sebelum tetamu kehormat diperkenalkan kepada kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian.
Pada tahun ini, BDSG Kali Ke-3 menyaksikan sebanyak lima acara sukan dipertandingkan, iaitu Bola Jaring, Bocce, Badminton, Futsal dan Olahraga (Kids Athletics).
Kejohanan ini berlangsung selama lapan hari, bermula 16 hingga 23 November 2026, melibatkan penyertaan seramai 690 atlet pelajar sekolah rendah dari enam kluster sekolah kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.
Penganjuran BDSG merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi pelajar dalam bidang sukan, di samping memperkukuh pembangunan sukan di peringkat sekolah.
Pada edisi kali ini, BDSG dikhususkan kepada penyertaan pelajar sekolah rendah, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas selaku penganjur bersama bagi memperluas peluang penyertaan kepada pelajar berkeperluan khas dalam kejohanan tersebut.
Majlis Pembukaan Rasmi ini juga bertujuan untuk menyemarakkan semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama berpasukan dalam kalangan atlet pelajar, serta mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan antara kontinjen yang menyertai kejohanan.