Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Sabtu, 14 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) baru-baru ini telah mengesahkan komitmennya terhadap kerjasama keselamatan serantau di Mesyuarat Second ASEAN National Security Advisers’ Meeting (NSAM2) yang berlangsung di Manila, Republik Filipina.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh National Security Adviser dan Director-General of the National Security Council, Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Eduardo San Lorenzo Oban Jr.
Delegasi NBD diketuai oleh Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara serta pegawai-pegawai kanan dari JPM.
Mesyuarat NSAM merupakan platform dialog strategik yang menghimpunkan Penasihat-penasihat Keselamatan Negara-negara Anggota ASEAN serta Pegawai-pegawai Kanan ASEAN yang bertanggungjawab terhadap dasar keselamatan negara.
Platform ini berperanan sebagai wadah bagi pertukaran pandangan penilaian mengenai isu-isu keselamatan yang menjadi kepentingan bersama, di samping memperkukuh persefahaman serta kerjasama strategik dalam kalangan Negara-negara Anggota ASEAN.
Semasa mesyuarat tersebut, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM telah mengetengahkan beberapa perkembangan dan cabaran keselamatan yang menjadi perhatian NBD, khususnya ketidaktentuan geopolitik dan persaingan strategik kuasa-kuasa besar.
Beliau turut menyentuh mengenai ancaman campur tangan asing, perkembangan ekstremisme pengganasan dan radikalisasi dalam talian khususnya dalam kalangan belia serta jenayah terancang rentas sempadan termasuk pemerdagangan orang, penipuan dalam talian, pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pendekatan menyeluruh yang melibatkan agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat dalam memperkukuh daya tahan negara terhadap ancaman-ancaman berkenaan.
Semasa berada di Republik Filipina, Ketua Delegasi NBD juga telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Tuan Yang Terutama Eduardo San Lorenzo Oban Jr. pada 12 November 2026.
Pertemuan tersebut telah membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam menangani isu-isu pemerdagangan orang, pengganasan dan radikalisasi dalam talian serta jenayah rentas sempadan yang lain.
Mesyuarat NSAM2 telah dihadiri oleh Ketua-ketua Delegasi dan Pegawai-pegawai Kanan dari Negara-negara Anggota ASEAN serta wakil Sekretariat ASEAN.