Siaran Akhbar : Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan pada hari ini telah mengeluarkan keputusan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) Tahun 2026.
Seramai 5,946 calon telah menduduki peperiksaan pada tahun ini dengan 3,874 (65.15 peratus) adalah calon sekolah kerajaan dan 2,072 (34.85 peratus) adalah calon sekolah swasta. Daripada keseluruhan calon berkenaan, 4,010 calon (67.44 peratus) telah berjaya memperolehi Gred A hingga C dalam kelima-lima mata pelajaran.
Manakala calon yang memperolehi Gred A hingga D dalam kelima-lima mata pelajaran adalah seramai 4,833 calon (81.28 peratus). Jumlah calon sekolah kerajaan yang memperolehi Gred A hingga C dalam kelima-lima mata pelajaran adalah seramai 2,336 calon (60.30 peratus), sementara itu pencapaian Gred A hingga C bagi calon sekolah swasta ialah seramai 1,674 calon (80.79 peratus).
Sebanyak 12 buah sekolah telah mencapai keputusan 100 peratus lulus Gred A hingga C bagi kelima-lima mata pelajaran termasuk enam buah sekolah kerajaan. Manakala sebanyak 34 buah sekolah telah mencapai keputusan 100 peratus lulus Gred A hingga D bagi kelima-lima mata pelajaran, dengan 18 buah daripadanya adalah sekolah kerajaan.
Seramai 574 calon sekolah (9.65 peratus) telah mendapat Gred A dalam kelima-lima mata pelajaran.
Daripada jumlah tersebut, seramai 258 calon adalah terdiri daripada calon-calon sekolah kerajaan. Manakala, pencapaian calon yang mendapat empat Gred A dan satu Gred B adalah seramai 757 calon (12.73 peratus), dengan 410 calon (54.16 peratus) adalah daripada sekolah kerajaan.
Pelajar-pelajar yang telah menduduki peperiksaan tersebut boleh mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing. Manakala bagi calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan, mulai Khamis, 19 November 2026, pada waktu pejabat.