500 murid TASKA sertai Program Interaktif Ta’dib

19 Nov 2026 - 5:59am

Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyakatan dengan kerjasama Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Program Interaktif Ta’dib Pendidikan Awal Kanak-Kanak berlangsung di Dewan TASKA, pagi tadi.

Seiring dengan TASKA Book Character Day, seramai lebih 500 murid TASKA menyertai program berkenaan yang dikendalikan oleh mahasiswa-mahasiswi Kursus Minor Pendidikan Awal Kanak Kanak KUPU SB bersama guru-guru TASKA.

Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan dalam program berbentuk ‘Gallery Walk’ dan ‘Station Rotation’. Setiap pelajar berpeluang mencuba kesemua Bahan Bantu Mengajar (BBM) berteknologi yang berasaskan sifat perkembangan peringkat awal kanak-kanak melalui pergerakan, deria dan pengalaman langsung.

Pengaplikasian teknologi digital seperti Video Mikro, E-Buku Cerita Interaktif mahupun Kad Imbas QR sudah pastinya menarik minat para pelajar untuk melihat, mencuba dan memberi maklum balas, selaras dengan keperluan Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21.

Program seumpama ini diharap dapat memberikan nilai tambah kepada mahasiswa mahasiswi terlibat dengan mempamerkan keberkesanan BBM berteknologi dan bahan ‘maujud’ yang dibina secara menyeluruh di samping memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna, menyeronokkan dan signifikan kepada kepada pendidikan awal kanak-kanak.