5 kesalahan dikesan semasa Operasi Usai

22 Nov 2026 - 5:34am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan

BELAIT, Sabtu, 21 November. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (JTMP) Cawangan Daerah Belait telah menjalankan Operasi Usai 267/2026 di Jalan Pandan, Kuala Belait pada 17 November 2026 bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

JTMP melalui pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah kegiatan sekuriti telah mendapati sebanyak lima kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap pekerja-pekerja iaitu Bab 44 : Membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan dan Bab 39(1) : Gagal membayar gaji pekerja dan bayaran lebih masa.

Seterusnya, Bab 64 : Bekerja pada hari rehat dan Bab 67 : Melebihi jam bekerja kerja syif yang telah ditetapkan serta Bab 70 : Gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278 dan jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

Sehubungan itu, JTMP ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis yang ditandatangani oleh majikan dan pekerja.

Kemudian, bekerja pada hari kelepasan awam hendaklah dibayar ganda atau diganti cuti pada hari lain, memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan dan memberikan cuti tahunan berbayar setelah tiga bulan berkhidmat di syarikat yang sama.

Untuk makluman lebih lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan JTMP di talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).