Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
JERUDONG, Sabtu, 21 November. – Pengimarahan masjid bukanlah suatu yang mudah dan bukan hanya menjadi tanggungjawab pegawai masjid sahaja, tetapi juga ahli jawatankuasa (AJK) takmir masjid berkenaan.
Komitmen AJK adalah amat penting dalam sama-sama menjayakan aktiviti takmir masjid kerana setiap kejayaan tidak akan dapat dicapai jika hanya satu pihak sahaja yang bergerak secara sendirian. Justeru dengan kerjasama kedua-dua belah pihak berkenaan akan menjadikan masjid menjadi gilang-gemilang dengan pelbagai aktiviti takmir.
Pentakmiran masjid juga bukan hanya dengan memperbanyakkan aktiviti yang berbentuk penganjuran peraduan dan pertandingan tetapi hendaklah meliputi pentakmiran secara keseluruhan, khususnya aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah seperti sembahyang lima waktu, kuliah-kuliah ilmu dan lain-lain lagi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan surat lantikan kepada 47 AJK Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong bagi Sesi 2026-2028 berkenaan, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Acara berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.
Terdahulu sebelum itu, seramai 48 orang telah menerima sijil penghargaan dalam kalangan mantan AJK Takmir Masjid tersebut bagi Sesi 2024-2026 yang disampaikan oleh Penaung AJK Takmir Masjid Al-Ameerah AI-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd. Jaafar bin Haji Abdul Aziz.