4 kesalahan dikesan semasa Operasi Usai

17 Nov 2026 - 4:53am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 November. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah menjalankan Operasi Usai 259 / 2026 di kawasan Kampung Manggis Satu pada 11 November 2026 bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

Pemeriksaan ke atas kegiatan kedai runcit telah mendapati sebanyak empat kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap beberapa pekerja tempatan dan asing iaitu Bab 39(2) : Majikan gagal membayar kerja lebih masa dan Bab 65 : Pekerja bekerja melebihi jam yang ditetapkan.

Seterusnya majikan juga didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 71 : Majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja dan Bab 112(2) : Melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing iaitu pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan buruh kasar melakukan pekerjaan kertas kerja pejabat.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti membuat terma-terma kontrak pekerjaan hendaklah selaras dengan undang-undang Akta Pekerjaan Penggal 278.

Majikan hendaklah membayar gaji kerja lebih masa jika pekerja bekerja melebihi 8 jam sehari atau bekerja melebihi 44 jam dalam seminggu, pekerja-pekerja tidak boleh bekerja melebihi 8 jam sehari dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari bagi pekerja syif serta tidak dibenarkan bekerja lebih masa melebihi dari 72 jam dalam sebulan.

Selain itu, majikan perlu memberikan cuti tahunan berbayar setelah 3 bulan berkhidmat di syarikat yang sama dan memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan.

Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan menerusi talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).