Siaran Akhbar : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
Foto : Urus Setia Majlis Mesyuarat Negara, Ihsan Kongres Republik Filipina
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Sabtu, 21 November. - Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Ke-47 yang berlangsung di Manila, Republik Filipina, berakhir pada 20 November 2026 dengan penerimaan 36 resolusi yang merangkumi keselamatan serantau, keselamatan makanan dan tenaga, Kecerdasan Buatan (AI), perubahan iklim, penjagaan kesihatan, pekerja migran serta perlindungan wanita dan kanak-kanak.
Mesyuarat enam Komiti AIPA yang berlangsung sepanjang perhimpunan telah membincangkan dan menerima pakai resolusi merangkumi bidang politik, ekonomi, sosial dan organisasi, termasuk kepimpinan wanita serta penglibatan ahli parlimen muda dalam pembangunan serantau.
Komiti Politik memberi tumpuan kepada keamanan dan kestabilan serantau melalui diplomasi antara parlimen, kerjasama keselamatan maritim serta usaha menangani jenayah rentas sempadan dan ancaman keselamatan siber. Perbincangan turut menyentuh kerjasama kemanusiaan dan Ulang Tahun Ke-50 Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC).
Manakala Komiti Ekonomi pula membincangkan keterjaminan makanan dan tenaga, daya tahan rantaian bekalan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS), tadbir urus AI serta usaha menangani perubahan iklim dan risiko bencana.
Sementara Komiti Sosial pula menumpukan usaha menangani penyalahgunaan dadah, perlindungan pekerja migran, penjagaan kesihatan, pendidikan semasa bencana serta pengukuhan persefahaman dalam kalangan masyarakat ASEAN.
Dalam Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA), perhatian diberikan kepada kepimpinan wanita dalam keamanan dan keselamatan, penyertaan wanita dalam ekonomi digital serta tadbir urus AI yang selamat dan inklusif.
Sementara itu, Mesyuarat Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA) memberi perhatian kepada keselamatan kanak-kanak dan golongan muda dalam persekitaran digital, khususnya perlindungan data peribadi, literasi digital dan kesihatan mental.
Majlis Mesyuarat Negara (MMN) turut menyumbang kepada pengukuhan peranan YPA melalui penerimaan resolusi bertajuk 'Approval of the Rules of Procedures of the Meeting of Young Parliamentarians of AIPA (YPA)' bagi menetapkan tatacara mesyuarat bagi mesyuarat AIPA.
Komiti Organisasi pula menumpukan kepada pengukuhan tadbir urus AIPA melalui pindaan statut, pengurusan kewangan dan urusan pentadbiran. Kerjasama AIPA dengan parlimen di luar rantau ASEAN turut diperluas melalui penerimaan Serbia dan Sepanyol sebagai Parlimen Pemerhati.
Perhimpunan Agung AIPA Ke-47 turut mengadakan sesi dialog bersama Parlimen-Parlimen Pemerhati AIPA bagi bertukar pandangan mengenai kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan, ekonomi, teknologi dan pembangunan mampan.
Sementara itu, 5th AIPA-ASEAN Hearing memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara AIPA dan ASEAN dalam pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045, khususnya melalui penglibatan parlimen. Perbincangan turut menyentuh kerjasama dengan ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) dalam mendukung usaha pembangunan inklusif, perlindungan golongan rentan dan perkongsian maklumat antara institusi.
Perhimpunan yang turut disertai oleh delegasi MMN itu diakhiri dengan Sidang Plenari Kedua dan Majlis Penutup, serta penyerahan Kepengerusian AIPA. Sidang Plenari Kedua pada 20 November 2026 telah menyaksikan Kenyataan Bersama (Joint Communique) Perhimpunan Agung AIPA Ke-47 yang merakamkan keputusan dan komitmen bersama dalam Perhimpunan Agung dalam memperkukuh kerjasama serantau.
Semua delegasi AIPA telah menandatangani Kenyataan Bersama, yang menegaskan semula komitmen terhadap ASEAN yang aman, makmur dan berpusatkan rakyat.
Majlis Penutup kemudian diteruskan dengan penyampaian Anugerah AIPA Distinguished Service Award kepada tiga penerima sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada AIPA, iaitu Yang Berhormat Dr. (H.C.) Puan Maharani dari Republik Indonesia; dan Yang Berhormat Suos Yara dari Kerajaan Kemboja.
Anugerah turut diberikan kepada mendiang Presiden Perhimpunan Kebangsaan Republik Demokratik Rakyat Lao, Yang Berhormat Xaysomphone Phomvihane.
Majlis turut menyaksikan upacara penerimaan Perhimpunan Kebangsaan Republik Serbia dan Senat Sepanyol sebagai Parlimen Pemerhati AIPA yang baharu.
Perhimpunan Agung berkenaan dihoskan oleh Republik Filipina di bawah kepimpinan Speaker Dewan Rakyat, Tuan Yang Terutama Faustino "Bojie" G. Dy III, selaku Presiden AIPA.
Dengan berakhirnya Perhimpunan Agung di Manila, Republik Filipina secara rasmi menyerahkan jawatan Presiden AIPA kepada Republik Singapura, yang akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung AIPA Ke-48 pada 2027.