Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BERAKAS, Sabtu, 14 November. - Seramai 31 orang petugas barisan hadapan daripada sektor hospitaliti dan pelancongan di Negara Brunei Darussalam (NBD) berjaya menamatkan program latihan 'Basic Turkish Language and Cross-Cultural Communication' yang telah berlangsung pada 2 Oktober hingga 25 Oktober 2026.
Majlis Penyampaian Sijil Latihan 'Basic Turkish Language and Cross-Cultural Communication' berkenaan telah diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), petang, di sini.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada para peserta ialah Setiausaha Tetap (Industri), KEPI, Awang Mohammad Harris bin Brigedier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Türkiye ke NBD, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Hamit Ersoy dan isteri.
Latihan ini telah dianjurkan oleh KEPI melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan kerjasama Kedutaan Republik Türkiye di NBD.
Program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kemahiran asas Bahasa Turki dalam kalangan peserta, di samping memperkasakan kefahaman peserta mengenai budaya, adat resam serta keperluan pelancong dari Republik Türkiye.
Bagi memastikan kualiti latihan yang optimum, Kedutaan Republik Türkiye di NBD telah membawa tenaga pengajar khas daripada Institut Yunus Emre, Republik Türkiye.
Kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh pembangunan kapasiti sumber manusia dalam sektor hospitaliti dan pelancongan tempatan.
Penganjuran program kali kedua ini merupakan salah satu inisiatif berterusan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan melalui penguasaan asas bahasa asing dan pemahaman silang budaya. Kemahiran yang diperoleh membolehkan petugas barisan hadapan berkomunikasi dengan lebih berkesan, memberikan layanan yang mesra dan profesional sekali gus memenuhi keperluan pelancong antarabangsa dengan lebih baik.
Salah seorang peserta iaitu Awang Muhammad Athaillah @ Fakhrurazi Zaini, melahirkan rasa syukur dan menyatakan bahawa kursus ini telah memberikan pengalaman dan pengetahuan baharu yang bermanfaat, nilai tambah yang signifikan khususnya dalam membantu petugas barisan hadapan dalam berkomunikasi dengan pelancong serta memahami budaya pelancong Türkiye dengan lebih baik.
Beliau juga berharap agar kursus Bahasa Turki dapat diteruskan ke peringkat seterusnya, di samping mengikuti latihan lain yang berkaitan dengan pelancongan dan pembangunan profesional pada masa akan datang.
Oleh yang demikian, JKP berharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui program latihan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam menjalankan tugas seharian. Langkah ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan dan kesiapsiagaan sektor hospitaliti dan pelancongan negara dalam menyambut Tahun Melawat Brunei 2027.