Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 November. - Seramai 198 murid Sekolah Al-Falaah telah diraikan pada Hari Pertama Majlis Ihtifaal Penutup Penggal Akhir Tahun 2026 berlangsung di Dewan Sekolah Al-Falaah, Sungai Akar, hari ini.
Murid-murid yang diraikan terdiri daripada seramai 132 murid Tadika 3 (Kindergarten 3) dan 66 murid Tahun 6 Sekolah Al-Falaah Cawangan Sungai Akar dan juga Cawangan Ban 5.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan sesi penyampaian sijil dan hadiah kepada para graduan ialah Pegawai Istinbat Kanan, Bahagian ‘Ifta, Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Haji Muhammad Ahmad Roza bin Haji Md. Daud.
Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan Surah Yaa Siin daripada murid-murid Tadika 3 (Kindergarten 3) Sekolah Al-Falaah Cawangan Sungai Akar dan Cawangan Ban 5 dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil Pengetua Sekolah Al-Falaah.
Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada para pelajar cemerlang sebagai penghargaan atas pencapaian dan usaha gigih mereka dalam bidang pembelajaran.
Selain itu, beberapa persembahan antaranya persembahan sketsa dan nyanyian, persembahan murattal, persembahan tazkirah dan persembahan tausyeh juga menjadi penyeri suasana majlis yang dipersembahkan oleh murid-murid sekolah tersebut.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh para graduan murid yang diraikan.
Juga hadir sama di majlis berkenaan ialah para kakitangan Sekolah Al-Falaah, murid-murid Tadika 3 (Kindergarten 3) Sekolah Al-Falaah Cawangan Sungai Akar dan juga Cawangan Ban 5 dan juga murid-murid Tahun 6, para pelajar cemerlang serta para ibu bapa dan penjaga murid-murid yang diraikan.