Siaran Akhbar dan Foto : Taman Asuhan Kanak-Kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
BERAKAS, Sabtu, 14 November. - Seramai 174 graduan cilik Taman Asuhan Tiga bagi tahun 2026 telah berjaya menamatkan pengajian di bawah Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak selama tiga tahun di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).
Pencapaian ini diraikan melalui Majlis Konvokesyen Kali Ke-28, Penyampaian Sijil Akademik dan Hadiah serta persembahan khas daripada murid-murid Taman Asuhan Tiga yang berlangsung di Dewan TASKA, YSHHB.
Penyampaian sijil akademik dan hadiah telah disempurnakan oleh Pengurus Am, Syarikat Wadah Amal Sdn. Bhd., YSHHB, Awang Nazrul Ariffin bin Nor Hanipah.
Penganugerahan tersebut adalah berdasarkan sistem penilaian berterusan yang dilaksanakan secara fizikal, dengan penekanan kepada penguasaan kemahiran menulis dan membaca mengikut skim TASKA.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti perarakan masuk para graduan cilik dan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Sekolah Rendah dan TASKA, YSHHB, Dayang Hajah Hafizah binti Haji Salat.
Acara turut diserikan dengan persembahan bertemakan ‘The Abode of Peace: A Journey of Wonders!’ yang mengetengahkan keindahan alam semula jadi, kekayaan tradisi, kepelbagaian bahasa dan keunikan warisan budaya Negara Brunei Darussalam.
Persembahan ini adalah bagi menyokong inisiatif negara bagi mempromosikan Tahun Melawat Brunei 2027 dengan menampilkan murid-murid Taman Asuhan sebagai duta-duta kecil.
Menerusi pengembaraan tujuh orang pelancong cilik, persembahan ini membawa penonton menjelajahi empat daerah di negara ini, bermula dari keunikan Kampong Ayer dan Temburong permata hijau, hinggalah ke keistimewaan kampung-kampung di Tutong serta warisan budaya Belait.
Pengembaraan tersebut turut memperkenalkan tempat-tempat menarik, komuniti setempat, kepelbagaian bahasa serta keunikan etnik dan budaya yang menjadi kebanggaan negara.