16 peserta tamatkan Kursus Asas Pemandu Pelancong

18 Nov 2026 - 7:56am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BERAKAS, Selasa, 17 November. - Seramai 16 orang peserta berjaya menamatkan Kursus Asas Pemandu Pelancong yang telah diadakan selama 10 hari bermula 12 hingga 24 Oktober 2026.

Sehubungan itu, petang tadi telah diadakan Majlis Penyampaian Sijil yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), di sini.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap KEPI, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

Penganjuran kursus kali ke-20 itu merupakan kesinambungan kursus yang diperkenalkan sejak tahun 2016 dan menjadi salah satu pra-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan bagi individu yang berhasrat untuk berkhidmat sebagai pemandu pelancong berlesen yang sah di Negara Brunei Darussalam.

Sejak mula ditawarkan pada tahun 2016, seramai 280 peserta telah berjaya menamatkan kursus berkenaan melalui kerjasama antara Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan Laksamana College of Business yang dilantik sebagai institusi pengendali kursus berkenaan.

Inisiatif latihan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JKP dalam mengukuhkan kecekapan tenaga kerja menjelang Tahun Melawat Brunei 2027.

Menerusi kursus tersebut, para peserta dibekalkan dengan pengetahuan mendalam mengenai sejarah, kebudayaan serta destinasi-destinasi utama negara bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada para pelancong adalah tepat, konsisten dan menarik.

Selain meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan, kursus berkenaan turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, khususnya golongan belia, di samping menyumbang kepada peningkatan pengalaman pelancong dan perkembangan industri pelancongan negara.

Para peserta yang berjaya menamatkan kursus asas itu seterusnya dikehendaki mengemukakan permohonan bagi mendapatkan Lesen Pemandu Pelancong rasmi dari JKP, KEPI.

Sehubungan itu, JKP turut mengingatkan bahawa mana-mana individu yang menjalankan atau mengiklankan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong tanpa memiliki lesen yang sah boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 20(3), Akta Pelancongan, Penggal 239.

Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi BND5,000 manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi BND10,000.

JKP berharap agar para peserta dapat memanfaatkan dan mengaplikasikan ilmu serta kemahiran yang diperoleh bagi memberikan perkhidmatan bertaraf profesional dan berkualiti tinggi, sekali gus meningkatkan pengalaman para pelancong yang berkunjung ke negara ini serta menyumbang kepada kejayaan Tahun Melawat Brunei 2027.

Dalam usaha menampung permintaan terhadap perkhidmatan pemandu pelancong yang semakin meningkat, jabatan berkenaan turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai, khususnya golongan belia yang sedang mencari peluang pekerjaan, untuk mengikuti kursus yang ditawarkan.

Pendaftaran bagi kursus seterusnya dijangka dibuka kepada orang ramai pada Februari / Mac 2027. Sebarang pertanyaan lanjut dan urusan pendaftaran boleh diajukan terus kepada pihak Laksamana College of Business.