12 kumpulan sertai Pertandingan Dikir Asyrakal anjuran PKWE DBM

15 Nov 2026 - 4:03am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

 LAMBAK KANAN, Sabtu, 14 November. - Kumpulan Dikir Amin dan Kumpulan Dikir Nur Iman masing-masing menyandang johan dalam Pertandingan Dikir Asyrakal anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara (DBM) yang diadakan di Dewan Legar PKWE DBM, Jalan 77, Lambak Kanan, pagi tadi.

Pertandingan yang diadakan bersempena Majlis Sambutan Hari Keluarga Tahun 2026 ini merupakan penganjurannya kali ke-5 yang melibatkan ahli-ahli PKWE DBM yang sememangnya dihasrat agar terus meningkatkan semangat dan tradisi keagamaan sekali gus kecintaan kepada junjungan besar umat Islam Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam meniti kehidupan sehari-hari.

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi sama-sama menyaksikan keindahan majlis dan menyempurnakan sesi penyampaian hadiah dan saguhati kepada para peserta serta penghargaan kepada hakim-hakim pertandingan ialah Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Dalam pertandingan berkenaan telah menyaksikan penyertaan seramai 12 kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli PKWE DBM iaitu lima kumpulan lelaki dan tujuh kumpulan wanita.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Awang Haji Abu Bakar bin Burut dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengurus PKWE DBM, Awang Haji Mohd. Yussof bin Mohd. Salleh.

Sebelum penyempurnaan sesi penyampaian hadiah dan saguhati kepada para peserta serta penghargaan kepada hakim-hakim pertandingan oleh tetamu kehormat, majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh oleh ahli-ahli PKWE DBM.

Dengan penganjuran Pertandingan Dikir Asyrakal ini dalam kalangan ahli-ahli PKWE DBM, ia bukan sekadar sebagai persembahan seni suara keagamaan tetapi juga sebagai wadah pendidikan moral dan rohani khususnya bagi generasi kini dan juga yang akan datang.