Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
SUNGAI AKAR, Sabtu, 21 November. - Seramai 105 murid Sekolah Al-Falaah yang terdiri daripada graduan K3 SA dan B5 menyertai Majlis Ihtifaal Penutup Penggal Akhir Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sekolah Al-Falaah, Sungai Akar, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid.
Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan Surah Yaa Siin oleh murid-murid K3 SA dan B5, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Unit Bahasa Melayu, Dayang Khairunnisa binti Md. Norkiflee yang membacakan teks ucapan bagi pihak Pengetua Sekolah Al-Falaah, Dayang Hajah Shariffah Mastura Alsagoff.
Dalam ucapan berkenaan, pihak sekolah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tetamu kehormat atas kesudian hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada para graduan serta penerima anugerah bagi tahun 2026.
Selain penyampaian sijil tamat prasekolah kepada 105 graduan K3 dari kedua-dua cawangan, majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan kecemerlangan murid-murid.
Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Pelajar Terbaik kepada 57 penerima, Anugerah Khas Kokurikulum kepada 43 penerima, Anugerah Pelajar Cemerlang Al-Quran kepada 12 penerima dan Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan kepada enam penerima.
"Penganugerahan berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap usaha, komitmen dan pencapaian murid-murid dalam pelbagai bidang sepanjang sesi persekolahan, sekali gus menjadi dorongan kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan apabila melangkah ke alam persekolahan rendah," ujar beliau.
Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada para pelajar cemerlang sebagai penghargaan atas pencapaian serta usaha gigih mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Bagi memeriahkan lagi majlis, pelbagai persembahan turut dipersembahkan oleh murid-murid, antaranya sketsa dan nyanyian, Mari Bercerita, hafazan Al-Quran serta Tausyeh.
Bacaan Doa Khas juga dibaca oleh murid-murid Tahun 6 sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026 dan diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh para graduan K3 SA dan B5. Turut hadir, kakitangan Sekolah Al-Falaah, murid-murid K3 SA dan B5, murid-murid Tahun 6, para pelajar cemerlang serta ibu bapa murid.