Budayakan kebersihan dalam kehidupan

11 Nov 2026 - 10:20am

KEBERSIHAN merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan manusia. Persekitaran yang bersih bukan sahaja memberikan keselesaan dan ketenangan, malah turut mencerminkan sikap, disiplin dan keperibadian seseorang. Kebersihan merangkumi pelbagai aspek seperti kebersihan diri, rumah, sekolah, tempat kerja, tempat ibadah serta kawasan persekitaran. Apabila kebersihan sentiasa dijaga, kehidupan akan menjadi lebih selesa, sihat dan sejahtera. Oleh itu, amalan menjaga kebersihan perlu dipupuk sejak kecil dan dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

Islam merupakan agama yang amat menitikberatkan aspek kebersihan dan kesucian. Kebersihan bukan sahaja berkaitan dengan penampilan diri dan persekitaran, tetapi juga mempunyai hubungan yang rapat dengan ibadah serta kehidupan seorang Muslim. Allah Subhanahu Wata'ala  berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 222 yang terjemahan makna ayatnya :

''Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri''.

Ayat tersebut menunjukkan betapa pentingnya menjaga kebersihan dan kesucian dalam kehidupan. Bahkan, orang yang sentiasa menyucikan diri termasuk dalam kalangan mereka yang dikasihi oleh Allah Subhanahu Wata'ala . Selain itu, Allah Subhanahu Wata'ala turut berfirman dalam Surah Al Muddatstsir, ayat 4 yang terjemahan makna ayatnya :

''Dan bersihkanlah pakaianmu''.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala  ini mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga kebersihan diri dan pakaian. Pakaian yang bersih bukan sahaja memberikan keselesaan kepada diri sendiri, malah menunjukkan rasa hormat terhadap orang di sekeliling kita, khususnya ketika berada di tempat ibadah, tempat kerja, sekolah dan kawasan awam.

Amalan menjaga kebersihan sebenarnya boleh bermula dengan perkara-perkara kecil dalam kehidupan seharian. Antaranya termasuklah membuang sampah ke tempat yang disediakan, mencuci tangan sebelum dan selepas makan, menjaga kebersihan tandas, memastikan rumah sentiasa kemas serta tidak membiarkan sampah atau sisa makanan bertaburan. Walaupun kelihatan mudah, amalan-amalan kecil seperti ini mampu memberikan kesan yang besar sekiranya dilakukan secara konsisten oleh setiap individu.

Kebersihan persekitaran pula merupakan tanggungjawab bersama. Kita tidak seharusnya menganggap bahawa tugas membersihkan kawasan awam hanya terletak pada bahu pekerja kebersihan atau pihak tertentu. Sebaliknya, setiap anggota masyarakat mempunyai peranan dalam memastikan kawasan perumahan, taman rekreasi, sekolah, tempat kerja, tempat ibadah dan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur. Aktiviti seperti gotong-royong, mengasingkan sampah, mengamalkan kitar semula dan mengurangkan penggunaan bahan yang mencemarkan alam merupakan antara usaha yang boleh dilakukan bersama-sama. Dengan menjaga kebersihan, risiko penularan penyakit dapat dikurangkan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan sihat untuk semua.

Dalam masa yang sama, kebersihan turut mencerminkan imej sesebuah masyarakat dan negara. Kawasan awam yang bersih, kemas dan terpelihara mampu memberikan gambaran bahawa masyarakatnya mempunyai kesedaran, disiplin dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Sebaliknya, sikap membuang sampah sesuka hati, merosakkan kemudahan awam atau membiarkan kawasan menjadi kotor bukan sahaja menyusahkan orang lain, malah boleh menjejaskan keindahan serta keharmonian persekitaran.

Oleh itu, sikap mencintai kebersihan hendaklah bermula daripada diri sendiri. Janganlah kita hanya menjaga kebersihan apabila diarahkan atau ketika berada di tempat tertentu sahaja. Sebaliknya, jadikanlah kebersihan sebagai satu kebiasaan walau di mana kita berada. Jika terlihat sampah, buanglah ke tempat yang sepatutnya. Jika menggunakan kemudahan awam, tinggalkanlah dalam keadaan yang baik dan bersih untuk digunakan oleh orang seterusnya. Sikap bertanggungjawab seperti inilah yang mampu membentuk masyarakat yang prihatin dan berdisiplin.