Amanah Yang Dituntut Ke Atas Penggapai

11 Nov 2026 - 10:19am

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

 

APABILA berlaku kematian, salah satu perkara yang wajib dilaksanakan ke atas si mati ialah memandikan mayatnya. Hukum memandikan mayat adalah fardhu kifayah. Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata dalam kitabnya al-Majmu' :

Ertinya : Dan memandikan mayat itu adalah fardhu kifayah berdasarkan ijma' kaum muslimin.

Di Negara Brunei Darussalam, terdapat pihak-pihak yang ditugaskan atau berkemahiran dalam mengurus dan menyempurnakan jenazah termasuk urusan memandikannya yang dikenali sebagai 'penggapai'. Pihak-pihak ini akan dihubungi oleh keluarga si mati bagi membantu mengendali pengurusan jenazah ahli keluarga mereka.

Sebagai pihak yang melaksanakan salah satu tuntutan fardhu kifayah, penggapai memikul amanah dan tanggungjawab yang sangat besar. Memandangkan pengurusan memandikan mayat memerlukan kepakaran dan pengetahuan khusus mengenai kaifiat dan adab-adabnya, maka pada kelazimannya pihak keluarga akan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada penggapai untuk melaksanakan urusan pemandian mayat ahli keluarga mereka.

Ketika melaksanakan tugas memandikan mayat, penggapai berkemungkinan akan terlihat atau terdedah kepada perkara-perkara yang tidak diketahui orang lain mengenai si mati. Perkara-perkara tersebut antaranya keadaan kematian si mati, keadaan fizikalnya, auratnya, tanda-tanda yang baik seperti berbau harum, berseri-seri atau sebaliknya.  Oleh kerana itu, tidak syak lagi tugas memandikan mayat menghendaki penggapai supaya mempunyai sifat amanah. Sifat amanah bukan sekadar dituntut dalam menjaga maruah, rahsia dan aib si mati, bahkan juga meliputi kejujuran dalam melaksanakan setiap langkah kerja-kerja memandikan mayat mengikut kehendak hukum syara'.

Sunat mencari penggapai yang bersifat amanah. Perkara ini kerana penggapai yang bersifat amanah dapat dipercayai untuk menyempurnakan tugas-tugas memandikan mayat dengan sempurna dan beramanah dalam menjaga maruah, rahsia dan aib si mati. Walau bagaimanapun, kerja memandikan mayat yang dilaksanakan oleh penggapai yang fasik hukumnya adalah sah dan mayat yang telah dimandikannya itu tidak perlu dimandikan semula.

Sekalipun memandikan mayat itu sah dilaksanakan oleh penggapai yang fasik, namun haram bagi pemerintah melantik atau menyerahkan urusan memandikan mayat orang Islam kepada orang fasik kerana orang fasik tidak layak untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab seumpama itu. Begitu juga haram melantik atau menyerahkan urusan memandikan mayat kepada orang yang tidak mengetahui perkara-perkara yang wajib diketahui dalam perkara memandikan mayat.

Antara amanah yang dituntut ke atas penggapai adalah seperti berikut :

(i) Melaksanakan tugas-tugas memandikan mayat dengan sempurna iaitu dengan memenuhi tuntutan-tuntutan wajib dan menunaikan tuntutan-tuntutan sunat dengan sebaik-baiknya.

Bagi menunaikan tuntutan di atas, penggapai wajib mengetahui perkara-perkara yang wajib dilakukan ketika memandikan mayat kerana hanya dengan mengetahui perkara-perkara ini dia dapat melaksanakan tugas-tugas memandikan mayat sesuai dengan kehendak syara'.

Selain itu, penggapai juga perlu mengetahui perkara-perkara yang sunat dilakukan ketika memandikan mayat supaya dia dapat melaksanakan tugas-tugas memandikan mayat dengan lebih sempurna dan memenuhi tuntutan-tuntutan sunatnya.

(ii) Wajib merahsiakan perkara-perkara buruk yang terdapat pada tubuh mayat seperti mayat menjadi hitam, berbau busuk atau berubah bentuk.

Perkara ini berdasarkan hadits daripada Ibn 'Umar Radhiallahu 'anhuma, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya : Dan sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah akan menutupnya (keburukannya) pada hari Kiamat.

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menceritakan perkara-perkara buruk yang berlaku pada tubuh mayat kepada orang lain hukumnya adalah haram kerana perbuatan tersebut merupakan ghibah.

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan untuk menyebut perkara-perkara buruk tersebut sebagai pengajaran dan peringatan kepada yang lain, maka yang demikian itu tidak dilarang. Sebagai contoh, jika dilihat perkara-perkara yang buruk pada mayat seorang yang secara terang-terangan melakukan perkara-perkara bid'ah, fasik dan kezaliman, maka tidak dilarang bahkan sunat menceritakan perkara buruk tersebut kepada orang lain sebagai pengajaran dan peringatan supaya orang lain tidak mengikut jejak langkah mereka. Bahkan hukumnya menjadi wajib jika ditakuti orang lain akan mengikut perbuatannya sekiranya perkara buruk yang berlaku pada mayatnya itu tidak diceritakan kepada yang lain.

(iii) Menceritakan perkara-perkara baik yang terdapat pada tubuh mayat seperti wajahnya bercahaya atau baunya harum.

Jika orang yang memandikan mayat melihat perkara-perkara baik pada tubuh si mati, sunat menceritakannya kepada yang lain supaya menarik lebih ramai orang untuk menyembahyangkan mayatnya dan mendoakannya.

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan untuk menyembunyikan perkara-perkara baik tersebut dari pengetahuan orang lain, maka yang demikian itu tidak dilarang. Sebagai contoh, jika dilihat tanda-tanda yang baik pada tubuh mayat seorang yang secara terang-terangan melakukan perkara-perkara bid'ah, fasik dan kezaliman, maka hendaklah disembunyikan perkara tersebut dari pengetahuan orang lain supaya orang lain tidak terpedaya dengannya. Bahkan menyembunyikannya boleh menjadi wajib sekiranya menceritakan perkara tersebut diyakini akan menjerumuskan orang lain kepada perkara-perkara bid'ah, fasik dan kezaliman itu.

(iv) Memelihara pandangan mata daripada melihat mayat yang sedang mereka mandikan melainkan jika ada keperluan.

Penggapai wajib tidak melihat ke arah aurat mayat yang dimandikan. Selain penggapai, perkara ini juga dituntut ke atas pembantu penggapai serta orang lain yang juga berada di tempat mayat dimandikan.   

Manakala bahagian anggota selain aurat mayat pula, seperti muka dan tangan mayat, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya al-Majmu', sunat bagi orang yang memandikan mayat serta pembantunya ataupun orang lain yang juga berada di tempat mayat dimandikan itu untuk tidak melihatnya melainkan jika ada keperluan seperti kerana hendak menyempurnakan proses memandikannya atau memastikan kebersihan anggota yang dibasuh. Sekiranya bahagian anggota selain aurat mayat itu sengaja dilihat tanpa keperluan, sekalipun dia melihat itu tanpa syahwat, maka perbuatan itu dikira sebagai khilaf al-awla bagi orang yang memandikan mayat dan makruh bagi pembantunya serta yang orang lain yang berada di tempat mayat dimandikan itu. Adapun jika diiringi syahwat pula, maka hukumnya adalah haram. 

Demikian penjelasan mengenai amanah yang dituntut ke atas penggapai. Penggapai yang amanah akan memastikan segala urusan memandikan mayat dilakukan dengan penuh teliti, tidak meringankan tanggungjawab serta memelihara maruah, rahsia dan aib si mati. Dengan sifat amanah, masyarakat dapat menaruh sepenuh keyakinan bahawa jenazah ahli keluarga mereka akan diuruskan dengan sebaik-baiknya sesuai dengan tuntutan hukum syara'. Sifat amanah ini, selain dituntut ke atas penggapai, ia juga dituntut ke atas pembantu penggapai serta siapa sahaja yang memasuki tempat memandikan mayat.