Pemanfaatan AI berpandukan aqidah, syarak dan akhlak

5 Okt 2026 - 2:50pm

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan semasa berucap pada Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa (SAKAPES 3) 2026 berlangsung di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Anbiya Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Alihi Wa Sahbihi Wa Man Tabi‘ahum bi ihsanin ila yaumiddin. Wa Ba‘du.

ALHAMDULILLAH, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapat kita berhimpun dalam Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa (SAKAPES) kali Ke-3. Saya merakamkan tahniah kepada KUPU SB, khususnya Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dan Fakulti Usuluddin, atas penganjuran seminar ini serta penghargaan kepada para pembentang dan peserta yang menyumbangkan kepakaran masing-masing.

Tema ‘Integrasi Nilai Ahli Sunnah Waljamaah di Era Kecerdasan Buatan (AI)’ amat bertepatan dengan keperluan semasa. Persoalan utama kita bukan lagi sama ada teknologi ini akan digunakan, kerana ia sudah berada dalam pendidikan, penyelidikan, pentadbiran dan kehidupan harian. Persoalannya ialah : Atas landasan apakah teknologi ini harus digunakan, dan siapakah yang bertanggungjawab terhadap hasilnya?

Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), landasan itu jelas. Article 3(1) Perlembagaan Negara Brunei Darussalam menetapkan Islam sebagai ugama rasmi negara, manakala Article 2(1) mentakrifkan Ugama Islam sebagai Ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah mengikut Mazhab Syafie. Oleh itu, Ahli Sunnah Waljamaah bukan sekadar bidang perbahasan akademik, bahkan asas yang menuntun pendidikan, dakwah dan pentadbiran ugama di negara ini.

Kedudukan ini diperteguhkan lagi melalui titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Antaranya titah baginda sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448 Peringkat Negara pada 4 Julai 2026. Baginda berharap supaya semangat Ilal Hijrah benar-benar dihayati bagi “memperkukuh akidah Ahli Sunnah Waljamaah melalui pembangunan modal insan seimbang”. Titah ini memberikan arah yang nyata, bahawa kemajuan ilmu dan teknologi mesti bergerak bersama keteguhan aqidah dan kemuliaan akhlak.

Lebih mutakhir, dalam Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan sempena Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1448H/2026M pada 24 Ogos 2026, baginda mengingatkan supaya kita “tidak mudah menerima segala pendapat dari sumber digital yang tidak diketahui kesahihannya, melainkan perlu dirujuk kepada institusi ugama berautoriti”.  Peringatan ini amat bertepatan dengan fokus seminar ini.

Kecerdasan Buatan (AI) membawa manfaat yang besar. Ia boleh membantu mencari, menyusun, menterjemah dan menganalisis maklumat dengan pantas. Namun AI juga boleh menghasilkan jawapan yang kelihatan meyakinkan tetapi tidak tepat, mereka-reka sumber, menghasilkan audio atau visual palsu, serta mempercepat penyebaran maklumat yang salah. Dalam perkara ugama, kesilapan seperti ini bukan kecil kerana ia boleh menyentuh akidah, hukum, ibadah dan keharmonian masyarakat.

Justeru, yang kita perlukan bukan penolakan terhadap AI, dan bukan juga penerimaan tanpa batas. Yang kita perlukan ialah pemanfaatan yang dipandu oleh akidah, syarak dan akhlak. Setiap kandungan ugama yang dihasilkan atau dibantu oleh AI hendaklah dinilai berdasarkan tiga ukuran sahih sumbernya, betul kefahamannya, dan baik kesannya.

Pertama, sahih sumbernya. AI bukan sumber berautoriti dan jawapannya tidak boleh dianggap sebagai fatwa, irsyad hukum atau keputusan muktamad. Rujukan asal mesti dijejaki, nas mesti diperiksa dan kenyataan mesti disahkan dengan kitab-kitab muktabar serta pihak berautoriti. Kepantasan mendapatkan jawapan tidak boleh menggantikan ketelitian mencari kebenaran.

Kedua, betul kefahamannya. Teks yang sahih sekalipun boleh disalahfahami apabila dipetik tanpa mengambil kira konteksnya, ditafsir tanpa berpandukan kaedah ilmu dan diterima tanpa bimbingan ulama. Dalam urusan akidah dan syariah, autoriti ilmu hendaklah kekal pada para ulama, ilmuwan dan institusi ugama yang berkelayakan. AI boleh membantu kerja ilmiah, tetapi tidak boleh mengambil tempat disiplin ilmu, adab berguru dan pertanggungjawaban manusia.

Ketiga, baik kesannya. Kandungan yang tepat dari segi maklumat belum tentu wajar disebarkan jika ia membuka aib, melanggar privasi, menimbulkan fitnah atau memecahbelahkan masyarakat. Nilai amanah, keadilan, ihsan dan maslahat hendaklah hadir sejak data dipilih dan pertanyaan dirangka, sehinggalah jawapan dinilai dan kandungan disebarkan.

Prinsip ini menepati tuntutan tabayyun (iaitu menyelidik, menyemak dan memastikan kebenaran sesuatu maklumat sebelum menerimanya atau menyebarkannya). Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6, tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita maka selidikilah kebenarannya (kerana dikhuatiri) kamu akan menimpakan kepada suatu kaum (perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu sehingga menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal atas apa yang kamu telah lakukan”.

Semangat tabayyun ini mesti diperluas kepada setiap hasil AI. Jangan disebarkan hanya kerana bahasanya kemas. Jangan diterima hanya kerana jawapannya pantas. Semak siapa sumbernya, apa dalilnya, bagaimana konteksnya dan apakah akibat menyebarkannya.

Negara kita, melalui pihak berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Brunei Darussalam (AITI), dengan kerjasama Kumpulan Kerja Tadbir Urus dan Etika AI, telah menyediakan ‘Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan untuk Brunei Darussalam’ (Guide on Artificial Intelligence Governance and Ethics for Brunei Darussalam).

Garis panduan ini antaranya menggariskan tujuh prinsip utama bagi penggunaan AI yang bertanggungjawab. Iaitu Ketelusan dan Kebolehjelasan (Transparency and Explainability); Perlindungan dan Tadbir Urus data (Data Protection and Data Governance); Keselamatan dan Ketenteraman (Security and Safety); Ketahanan dan Kebolehpercayaan (Robustness and Reliability); Keadilan dan Kesaksamaan (Fairness and Equity); Berpusatkan Manusia (Human Centricity) dan Kebertanggungjawaban dan Integriti (Accountability and Integrity).

Panduan yang disediakan dalam garis panduan ini dihasratkan sebagai amalan dan perlindungan yang perlu dipraktikkan oleh organisasi yang membentuk, membangunkan, menggunakan dan memanfaatkan teknologi AI di Brunei Darussalam.

Panduan tersebut bersifat umum dan merentas sektor.  Maka Seminar ini berpeluang menambah dimensi yang khusus bagi pengajian dan penyampaian ugama. Iaitu bagaimana prinsip tadbir urus tersebut diperkukuh berdasarkan tuntutan akidah, syarak, akhlak, dan kesahihan sumber menurut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah. 

Di sinilah KUPU SB turut memikul peranan yang penting. Ini kerana, jika diamati seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dalam Titah Perutusan sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada 24 Ogos 2026 yang lalu, baginda ada bertitah “Beta juga menyeru ibu bapa, guru-guru serta seluruh institusi Pendidikan memainkan peranan aktif dalam membimbing dan mengukuhkan aqidah generasi muda”.

Maka petikan titah ini turut memperjelas lagi tanggungjawab KUPU SB sebagai institusi yang melahirkan pendidikan ugama. Peranan aktif itu bukan sekadar menyampaikan ilmu, bahkan membimbing generasi muda berpandukan aqidah Ahli Sunnah Waljamaah, membetulkan kekeliruan serta membiasakan mereka merujuk persoalan ugama kepada sumber dan institusi yang berautoriti. 

Dalam konteks AI, para pensyarah dan bakal guru perlu dilengkapkan bukan sahaja dengan kemahiran menggunakan teknologi dan menilai keterbatasannya, tetapi juga dengan keupayaan membimbing pelajar menggunakannya secara beradab, amanah dan bertanggungjawab.  

Saya berharap seminar ini tidak berakhir sebagai himpunan kertas kerja semata-mata. Saya mencadangkan KUPU SB supaya mempertimbangkan kesesuaian bagi menggerakkan usaha bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama dan agensi-agensi berkaitan untuk menilai dan meneliti tiga tindakan utama berikut :

- Garis panduan penggunaan AI : Menyediakan panduan penggunaan AI dalam pengajian, penyelidikan, pengajaran dan penyampaian ugama, termasuk tatacara semakan sumber dan tanggungjawab pengguna.

- Pusat rujukan digital rasmi : Menghimpunkan sumber digital tempatan yang berautoriti mengenai aqidah Ahli Sunnah Waljamaah, Mazhab Syafie, fatwa, irsyad dan bahan pendidikan ugama yang diterbitkan dan yang telah disahkan lulus untuk memudahkan rujukan yang tepat.

- Literasi AI berterusan : Membangunkan latihan untuk pensyarah, mahasiswa, guru ugama, dan bahkan pendakwah dan pegawai masjid yang meliputi penggunaan beretika, pengesahan maklumat, perlindungan data dan keselamatan digital.

Ini adalah cadangan untuk difikirkan dan dinilai lanjut kesesuaiannya.

Ketiga-tiga cadangan di atas selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2025-2029, menerusi lima strategi utama iaitu : Pemerkasaan pendidikan ugama dan Arab berkualiti; Pengukuhan dakwah mantap dan berkesan; Penguatkuasaan perundangan dan keadilan Syariah; Kesejahteraan dan keselamatan sosial berasaskan Islam; dan Kecemerlangan tata kelola dan pendigitalan perkhidmatan.

Pada hemat saya, ukurannya bukan sekadar berapa banyak teknologi digunakan, tetapi sama ada penggunaannya benar-benar memudahkan, mendidik, melindungi dan membawa maslahat.

Kepada para pembentang dan peserta, saya berharap perbincangan selama dua hari ini melahirkan cadangan yang jelas, praktikal dan boleh dilaksanakan. Kejayaan sebenar seminar ialah sejauh mana dapatan ilmu itu diterjemahkan menjadi panduan, amalan dan perlindungan kepada masyarakat.

Akhirnya, marilah kita memastikan AI menjadi alat yang membantu ilmu dan dakwah. Bukan alat yang mengelirukan manusia daripada kebenaran. Semoga usaha ini melahirkan generasi yang cekap memanfaatkan teknologi, teguh aqidahnya, luhur akhlaknya dan amanah terhadap ilmu, generasi yang menyumbang kepada kemajuan negara tanpa kehilangan jati diri Islam.

Dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan ini merasmikan Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa (SAKAPES) Kali Ke-3, 2026.

Sekian. Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.