Pelancongan pemangkin pertumbuhan ekonomi pelbagai dan mampan negara

3 Og 2026 - 11:18am

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillahi Rabbil Alameen,

Wassalatu Wassalamu Ala Asyrafil Anbiyaie Wal Mursalin

Sayyidina Muhammadin Wa'ala Alihi Wassahbihi Ajmain.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

ALHAMDULILLAH, segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kaum keluarga, para sahabat serta pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Hamba Duli Tuanku dengan penuh hormat dan takzim, selaku wakil keseluruhan Ahli Jawatankuasa Pandu dan Ahli Jawatankuasa Kerja Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027) sukacita menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Duli Tuanku di atas keberangkatan Duli Tuanku ke Majlis Prapelancaran Visit Brunei Year 2027 dan seterusnya berkenan menyempurnakan Majlis Prapelancaran Visit Brunei Year 2027 ini.

Sesungguhnya, keberangkatan Duli Tuanku ke Majlis ini akan menjadi dorongan kepada abis hamba Duli Tuanku sekalian dalam melaksanakan inisiatif Visit Brunei Year 2027 pada tahun hadapan.

Sebelum hamba Duli Tuanku meneruskan sembah alu-aluan ini, hamba Duli Tuanku dengan penuh takzim menjunjung sabda perkenan Duli Tuanku menyampaikan sepatah dua kata di dalam bahasa Inggeris.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala, kita berkumpul di sini malam ini untuk menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kita menuju Tahun Melawat Brunei 2027, yang bertepatan dengan Sambutan Jubli Intan Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-60 Menaiki Takhta.

Tahun Melawat Brunei 2027 lebih daripada sekadar kempen pelancongan. Ia merupakan jemputan negara kepada dunia untuk meneroka keindahan, warisan, nilai dan aspirasi Negara Brunei Darussalam.

Ia merupakan peluang untuk kita mempamerkan siapa kita sebagai sebuah negara yang dikurniakan hutan hujan asli, warisan budaya yang kaya, komuniti yang meriah dan cara hidup yang damai yang berakar umbi dalam nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB). Yang paling penting, ia merupakan tempat di mana kehangatan, kebaikan dan layanan yang tulen merupakan cara hidup, meninggalkan kesan yang berkekalan kepada semua yang melawat negara kita.

Pada malam ini, kami dengan sukacitanya memperkenalkan bukan sahaja logo dan maskot rasmi tetapi juga lagu tema rasmi Tahun Melawat Brunei 2027.

Tema, 'The Abode of Peace' bukan sekadar slogan. Ia mencerminkan siapa kita dan bagaimana kita dikenali oleh dunia. Sebuah negara yang menawarkan sesuatu yang semakin jarang ditemui dalam dunia yang pantas dan sentiasa berubah hari ini: keamanan, keaslian dan keharmonian.

Kisah pelancongan Brunei Darussalam adalah kisah budaya, alam semula jadi dan pengembaraan. Daripada tradisi dan warisan Islam kita yang kaya, kepada hutan hujan dan biodiversiti kita yang belum tercemar, serta pengembaraan unik dan pengalaman asli yang terdapat dalam komuniti kita, Brunei Darussalam menawarkan pengalaman yang benar-benar memperkaya dan tidak dapat dilupakan kepada pengunjung, yang memupuk hubungan yang bermakna dan kesan yang berkekalan.

Kejayaan Tahun Melawat Brunei 2027 tidak akan dapat dicapai oleh satu organisasi sahaja. Ia memerlukan usaha kolektif agensi kerajaan, syarikat penerbangan, pemain industri, komuniti tempatan dan rakan kongsi strategik. Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada semua pihak berkepentingan, penaja, rakan kongsi dan semua yang telah menyumbang ke arah inisiatif ini. Ini hanyalah permulaan dan kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai rakan kongsi untuk menyertai kami dalam usaha kami bersama-sama untuk merealisasikan visi Tahun Melawat Brunei 2027.

Pada malam ini, kami juga berbesar hati untuk mempamerkan Kalendar Acara Tahun Melawat Brunei 2027. Pavilion ini mempersembahkan perjalanan sambutan dan penemuan selama setahun, memperingati Jubli Intan sambil mengetengahkan pelbagai pengalaman yang ditawarkan oleh Brunei Darussalam.

Sepanjang tahun para pengunjung dan penduduk tempatan sama-sama berpeluang menikmati pelbagai acara yang disusun dalam kalendar tahunan yang penuh meriah. Antaranya termasuk festival yang meraikan keindahan alam semula jadi, seni dan budaya, kreativiti, warisan, pengalaman kulinari, sukan serta aktiviti rekreasi. Kemuncak sambutan tersebut ialah bagi memperingati Sambutan Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-60 Menaiki Takhta.

Hasrat kita bukan sahaja untuk menarik lebih ramai pelawat antarabangsa, malah juga untuk menggalakkan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam agar meneroka semula keindahan negara sendiri. Kita mengajak semua untuk melangkaui destinasi yang sudah biasa dikunjungi, menemui khazanah-khazanah tersembunyi, menyokong perniagaan tempatan serta menghayati keunikan kisah dan pengalaman yang terdapat di keempat-empat daerah di negara ini.

Setiap destinasi mempunyai cerita untuk diceritakan. Setiap komuniti mempunyai sesuatu yang unik untuk dikongsi dan setiap perjalanan menawarkan peluang untuk memperdalam penghargaan kita terhadap Brunei Darussalam.

Melalui Tahun Melawat Brunei 2027, kami berhasrat untuk merangsang aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong perniagaan tempatan dan memperkukuh sumbangan pelancongan ke arah pertumbuhan yang lebih pelbagai, mampan dan inklusif.

Dengan itu, saya berharap awda semua menikmati malam yang menyeronokkan dan menjemput awda semua untuk meneroka Pavilion Tahun Melawat Brunei 2027 dan sertai kami dalam perjalanan menarik yang bakal menjelang. Bersama-sama, marilah kita mengalu-alukan dunia ke Brunei Darussalam 'The Abode Of Peace'.

Sekian sahaja ucapan hamba Duli Tuanku. Sebelum hamba Duli Tuanku mengundurkan diri, izinkanlah hamba Duli Tuanku sekali lagi menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Tuanku bercemar duli ke Majlis Prapelancaran Visit Brunei Year 2027 dan berkenan menyempurnakan Majlis Prapelancaran Visit Brunei Year 2027.

Pada mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Duli Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun sekiranya terdapat sebarang suruk langkah dan tutur kata yang kurang manis dalam sembah alu-aluan hamba Duli Tuanku dan dalam acara majlis pada malam ini.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.