MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa berucap pada Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2026 pada Selasa, 7 Julai 2026 yang berlangsung di Dewan Musyawarah Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen
Wasaalatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,
Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
BERSYUKUR kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya jua kita dapat berkumpul dalam sama-sama mengikuti majlis ilmu pada pagi ini, Sempena Sambutan Bulan Bahasa 2026.
Istimewanya, pada tahun ini Sambutan Bulan Bahasa ditandai dengan mengambil sempena dan memperingati 65 tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ditubuhkan pada tahun 1961, DBP telah menggalas misi dan visi jabatan, selaras dengan kehendak negara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu bagi memperkukuh perkembangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu di Negara Brunei Darussalam (NBD). Sambutan Bulan Bahasa yang pertama kalinya diadakan pada tahun 1962 sehingga kini jelas membuktikan bahawa peranan bahasa Melayu di negara ini tidak dipandang ringan, meskipun menghadapi pelbagai hambatan yang semakin mencabar kedudukan bahasa Melayu.
NBD merupakan sebuah negara yang sangat terkenal dengan pendekatan penerapan dan penggunaan bahasa Melayu yang mana bahasa Melayu sudah awal didaulatkan dan menjadi sebagai bahasa rasmi negara dan telah dimeterai dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959, iaitu sebelum NBD mencapai kemerdekaan penuh pada 1 Januari 1984.
Melihat dari sudut pandang masa kini, walaupun bahasa Melayu telah didaulatkan sebagai bahasa rasmi, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga sebilangan masyarakat yang meragui akan kemampuan bahasa Melayu, terutama dalam urusan-urusan rasmi yang berkaitan dengan domain profesional seperti pentadbiran, undang-undang atau perdagangan. Tanggapan, pola fikir dan keraguan akan kemampuan bahasa Melayu perlu diubah dan perubahan itu hendaklah dipraktikkan dari hal-hal kecil yang nampak sederhana, tetapi memberi impak besar dalam kehidupan kita.
Bahasa berperanan penting dengan cara seseorang berfikir. Salah satu peradaban manusia terletak pada cara masyarakatnya menuturkan kata atau norma penggunaan bahasa termasuklah ketertiban dalam berbicara. Bahasa tumbuh dan berkembang dalam suatu persekitaran yang di dalamnya terdapat segala macam budaya, pemikiran dan pandangan masyarakat jati yang menuturkannya. Sebab itu di NBD, muncul ungkapan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, iaitu ungkapan penuh makna yang dijadikan tema utama Sambutan Bulan Bahasa 2026 pada tahun ini kerana roh dan semangat kecintaan yang mendalam terhadap bahasa Melayu telah menjiwai sanubari kita sebagai cerminan identiti dan jati diri bangsa.
Bahasa yang produktif dan memiliki ciri keilmuan dapat melahirkan gagasan-gagasan baharu sebagai alat penghubung dan pembentuk variasi peradaban yang diwadahi oleh bahasanya. Semakin tertib penggunaan bahasa, semakin besar peranan bahasa itu sebagai jambatan menuju peradaban atau ketamadunan bangsa. Oleh itu, pembakuan bahasa sangat penting untuk menjadi sukat-sukat atau pemiawaian bahasa bagi sesebuah negara. Meskipun NBD mempunyai tujuh puak yang berlainan dialek, tetapi tetap saja disatukan dalam satu penggunaan bahasa yang menjadi medium penyatu antara bahasa-bahasa lain yang terdapat di negara ini, iaitu bahasa Melayu standard sebagai bahasa rasmi negara.
Tidak salah mempelajari bahasa asing atau bahasa penghantar kedua sebagai bahasa ilmu dan tidak salah juga kita mencedok ilmu dari luar negara yang bukan Melayu, asalkan ilmu tersebut dapat dimanfaatkan, khususnya calak kebruneian kerana salah satu cara untuk memajukan sebuah negara ialah dari bahasanya yang mampu mengungkapkan ilmu dengan meletakkan kewibawaan kepada bahasa itu sendiri.
Dan satu daripada penanda aras terhadap kemajuan sesebuah negara ialah apabila sesebuah negara berupaya memekarkan kosa kata sebagai pengembangan terhadap bahasa negara. Namun, dalam keasyikan kita membina atau mewujudkan istilah kosa kata atau terma-terma baharu yang semakin tumbuh subur, terutama di media sosial, janganlah kita lupa akan kaedah-kaedah pembentukan yang telah digarispandukan oleh institusi-institusi tertentu bagi memastikan keselarasan bahasa Melayu memiliki ciri keilmuan dan tatacara tertentu untuk dipatuhi. Selain itu, antara usaha lain bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah dengan melahirkan banyak karya yang bermutu dan bernilai intelek agar dapat menambah bahan rujukan yang masih terhad berbanding bahan rujukan ilmiah daripada bahasa-bahasa asing yang lain.
Bahasa Melayu telah sekian lama dipelajari iaitu sejak di alam persekolahan. Seharusnya kita tidak perlu ragu dan kurang yakin untuk meletakkan kedudukan bahasa Melayu ini sebagai bahasa ilmu dan bahasa persuratan. Meskipun menghadapi pelbagai cabaran global yang semakin berkembang dan saya percaya setiap orang di dunia ini semestinya tidak menolak akan kehadiran budaya elektronik atau budaya digital dalam menyebarluaskan ilmu termasuk pemasaran strategik di arena antarabangsa. Namun demikian, kepekaan dan kesedaran individu sebagai pengguna perlu ada dalam menyikapi kemajuan yang dibawa oleh era digital ini. Ini kerana, sama ada kita menyedari atau tidak berlakunya kerencaman bahasa Melayu seperti munculnya pengaruh penggunaan bahasa rojak, bahasa tidak baku dan penggunaan tatabahasa yang tidak betul lebih dominan digunakan. Lebih daripada itu bahasa yang kasar, tidak tepat dan tidak sopan juga boleh mencetuskan ketaksaan salah pengertian dan konflik. Bahasa dan kata-kata membawa pengaruh yang mendalam. Bahasa yang digunakan bukan sahaja membentuk dan mendedahkan identiti dan pemikiran si penutur, malah pemilihan kata yang dibuat turut memberi impak psikologi serta emosi kepada yang mendengarnya.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan bagi semua pihak untuk memupuk penggunaan bahasa Melayu yang betul dan beradab sedari awal lagi dengan menyaring, membezakan dan menyikapi bahasa Melayu itu sendiri dengan cara yang baik, meskipun media sosial atau platform digital merupakan medium peribadi atau hak individu, tetapi pengguna hendaklah bijak menggunakan medium ini sebagai wahana beretika bagi menyampaikan mesej dalam memastikan maruah bangsa terpelihara.
Selain itu, kelemahan individu tertentu dalam menyikapi atau kurang berusaha menguasai bahasa Melayu standard, termasuk kekeliruan dalam membezakan penggunaan bahasa Melayu harian dengan bahasa Melayu standard dalam rangka meningkatkan kemampuan menggunakan bahasa Melayu yang betul, sedikit sebanyak juga telah menjadikan kemahiran menulis atau bertutur secara formal semakin menurun. Walhal, inilah merupakan perkara penting dalam mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.
Oleh itu, saya sekali lagi menekankan bahawa cara yang paling efektif terhadap keberkesanan penggunaan bahasa Melayu itu ialah, dari diri individu itu sendiri, iaitu menggunakan dan berusaha menimbulkan rasa hormat terhadap bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa ini sebagai bahasa ilmu, dinikmati dan dikembangluaskan sebagai satu bahasa yang menjadi perpaduan, disegani, malahan dipelajari. Sebagai bahasa rasmi NBD yang termaktub dalam perlembagaan kita perlu meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan utama dalam kehidupan, sekali gus mendukung hasrat kerajaan untuk memartabatkan, memelihara dan mendaulatkan bahasa Melayu agar ia terus kekal sebagai identiti dan jiwa bangsa serta teras kedaulatan negara.
Akhir kalam, sekalung tahniah dan ucapan terima kasih saya tujukan kepada seluruh warga kerja DBP atas kesungguhan, keiltizaman dan komitmen berterusan yang tidak pernah kendur dalam memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, termasuk ucapan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya, jabatan-jabatan kerajaan, rakan-rakan korporat dan pihak-pihak lain yang telah sama-sama terlibat bagi menjayakan Sambutan Bulan Bahasa 2026 ini.
Semoga usaha murni, tenaga dan amal bakti yang dicurahkan diberikan ganjaran dan imbalan pahala daripada Allah Subhanahu Wata’ala, serta semoga Sambutan Bulan Bahasa pada tahun ini akan menjadi landasan bagi menyuntik semangat kolektif kepada semua pihak dalam berganding bahu memelihara, memperkaya dan mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai warisan bangsa yang tidak ternilai harganya.
Akhirnya sebelum lafaz perasmi, saya nukilkan serangkap pantun.
Kuih Melayu bernama Biraksa,
Untuk dimakan di dalam taman,
Bahasa Melayu kita perkasa,
Martabat bangsa sepanjang zaman.
Sekian. Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam saya sukacita melancarkan Sambutan Bulan Bahasa 2026 dan 65 Tahun Penubuhan DBP, kegiatan-kegiatan di bawahnya serta Buku-buku Terbaharu Terbitan DBP.