Institut Tahfiz terus komited memartabatkan pendidikan Al-Quran di negara ini

16 Nov 2026 - 10:06am

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil `Alameen.

Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,

Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Waman Tabiaahu Biihsani Illa Yaumiddien, Waba’du.

 

DENGAN penuh hormat dan takzim serta kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala, hamba Duli Tuanku, bagi pihak Ahli-ahli Lembaga dan seluruh warga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sukacita menyembahkan sembah menjunjung kasih atas perkenan Duli Tuanku berangkat ke Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-14 pada pagi ini, seterusnya berkenan mengurniakan sabda dan menyempurnakan penganugerahan sijil Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat yang diiktiraf setaraf dengan Diploma Tertinggi Kebangsaan (Higher National Diploma). 

Sesungguhnya, keberangkatan Duli Tuanku amat besar maknanya dan menyemarakkan lagi Majlis Haflut Takharruj ini. Keberangkatan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan Duli Tuanku terhadap kemajuan pendidikan dan perkembangan Institut, bahkan menjadi sumber dorongan kepada para graduan untuk terus berbakti kepada ugama, raja dan negara.

Abis hamba Duli Tuanku sekalian dengan penuh kesyukuran berdoa semoga Allah Subhanahu Wata‘ala sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada Duli Tuanku serta kerabat Duli Tuanku, di samping mengurniakan nikmat sihat walafiat dan kebahagiaan yang berkekalan.

Alhamdulillah, sejak kumpulan pertama Program Diploma ‘Aliyah Qiraat dianugerahkan sijil pada tahun 2013, Institut telah melahirkan seramai 306 orang graduan, termasuk 38 orang yang diraikan pada tahun ini. Daripada jumlah tersebut, 28 orang memperoleh pangkat mumtaz dan 10 orang memperoleh pangkat jayyid jiddan.

Para graduan pada tahun ini merupakan kumpulan pertama Program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat bagi sesi pengajian 2023-2026. Penaiktarafan program ini turut memperluas kandungan  pengajian, antaranya melalui pengenalan ilmu Dhabt Al-Quran, iaitu ilmu berkaitan tanda, simbol dan baris dalam penulisan mushaf yang membantu memelihara ketepatan bacaan Al-Quran. Modul-modul pengajian turut diperkukuh dan dikemas kini dari segi kandungan bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan kekal relevan dan komprehensif. Pemantapan ini meliputi Modul Teras, antaranya Rasm Al-Quran dan Tarannum Bil-Quran, serta Modul Wajib seperti Bahasa Arab, Al-Fiqh Al-Islami wa Usuluh dan Tafsir Al-Quran. Di samping itu, elemen Ko-Kurikulum turut diperkenalkan sebagai salah satu Modul Elektif bagi memperluas pengalaman pembelajaran pelajar serta menyokong pembangunan kemahiran, sahsiah dan potensi mereka secara lebih menyeluruh. Dengan pengukuhan kurikulum tersebut, para graduan dibekalkan dengan pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu Al-Quran sebagai teras, serta kemahiran lain yang bermanfaat.

Bersempena dengan graduasi kumpulan pertama ini, pihak Institut turut mengadakan pameran yang memaparkan perkembangan dan pencapaian alumni Diploma ‘Aliyah Qiraat. Pameran tersebut mengetengahkan sumbangan, laluan kerjaya dan bidang khidmat alumni, sekali gus memberi gambaran kepada para graduan dan pengunjung tentang luasnya ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Disembahkan bahawa sumbangan alumni Institut tidak terhenti pada kejayaan akademik. Sejak tahun 2013 Haflut Takharruj dilaksanakan, para graduan lepasan Institut Tahfiz terus mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan ilmu, dakwah dan khidmat masyarakat, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Pada tahun ini, pada bulan Jun 2026, alumni turut terlibat secara langsung dalam menjayakan Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam Kali Kedua sempena Brunei Mid-Year Conference and Exhibition (MYCE) sebagai pembentang kertas kerja dan peserta. Mereka turut menyumbangkan pandangan, pengalaman serta buah fikiran dalam sesi perbincangan yang membantu perumusan resolusi simposium berkenaan. Penglibatan ini mencerminkan keupayaan alumni untuk terus menyumbang secara ilmiah dan profesional kepada perkembangan serta pemerkasaan pendidikan tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam. 

Selain itu, alumni turut menyertai Program Belia Da‘ie dan pelbagai kegiatan dakwah anjuran Pusat Da‘wah Islamiah serta agensi-agensi berkaitan bagi membangunkan kemahiran penyampaian dakwah dan komunikasi berkesan serta keupayaan menghasilkan kandungan digital yang kreatif, beretika dan berimpak untuk disampaikan melalui platform digital dan media sosial sebagai medium dakwah kontemporari yang relevan dengan perkembangan semasa.

Pada bulan Ramadan yang lalu, atas jemputan, seorang orang alumni telah dihantar ke Jepun untuk berkhidmat sebagai imam solat tarawih sepanjang bulan Ramadan di samping menyampaikan tazkirah dan khutbah Jumaat. Penugasan tersebut merupakan sumbangan Negara Brunei Darussalam dalam turut memenuhi keperluan keagamaan masyarakat Islam di Jepun.

Manakala di Negara Brunei Darussalam, Alhamdulillah, setiap Ramadan, sebahagian pelajar dan alumni Institut berkhidmat sebagai imam solat tarawih di masjid-masjid. Semoga sumbangan ini menjadi amal jariah, bumi Darussalam disirami keberkatan dan mereka dikurniakan syafaat Al-Quran. Dari segi kerjaya, alumni Institut kini berkhidmat dalam sektor kerajaan dan swasta. Sebahagian lepasan Diploma ‘Aliyah Qiraat kembali mencurahkan bakti sebagai tenaga pengajar, sama ada di peringkat menengah mahupun diploma di Institut ini.

Sebahagian yang lain berkhidmat sebagai imam, anggota beruniform, pegawai dalam bidang kewangan dan dalam pelbagai jawatan lain. Kepelbagaian laluan kerjaya ini menggambarkan bahawa latar belakang pengajian tahfiz tidak membataskan ruang sumbangan para graduan, bahkan menjadi nilai tambah dalam perkhidmatan mereka.

Di samping sumbangan para alumni, Institut turut memperluas khidmatnya kepada masyarakat. Pada masa ini, Kelas Pengajian Braille disertai oleh tujuh orang peserta. Pengajiannya merangkumi hafazan Al-Quran, di samping kategori pembelajaran asas-asas ugama seperti fiqh dan tauhid, serta latihan asas menaip Braille. Institut juga mengendalikan Pengajian Menghafaz Al-Quran bagi orang awam pada setiap hari Jumaat yang mana pada masa ini pelajarnya berjumlah seramai 183 orang pelajar. Kedua-dua inisiatif ini memperluas akses kepada pengajian Al-Quran secara inklusif, di samping menjadi sumbangan Institut kepada masyarakat melalui penyediaan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Abis hamba Duli Tuanku sekalian mendoakan semoga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan terus berkembang maju dan memperkukuh sumbangannya kepada masyarakat dan negara. Sesungguhnya, penubuhan Institut ini merupakan suatu rahmat dan nikmat yang besar, lahir daripada hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, untuk memartabatkan pengajian Al-Quran di negara ini. Amanah tersebut akan sentiasa dipelihara dengan memastikan mutu pengajian, pengurusan dan khidmat Institut terus diperkukuhkan.

Para graduan yang diraikan pada hari ini telah memperoleh peluang yang amat berharga untuk mengikuti pengajian di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sebuah institusi tahfiz kerajaan yang khusus mendidik generasi penghafaz Al-Quran di negara ini. Peluang tersebut hendaklah disyukuri dengan memelihara hafazan, mengamalkan ajaran Al-Quran dan memanfaatkan ilmu bagi kebaikan masyarakat. Sesungguhnya, hafazan Al-Quran ialah anugerah yang besar, sekali gus amanah yang menuntut kesungguhan dan istiqamah sepanjang hayat.

Hal ini bertepatan dengan janji Allah Subhanahu Wata‘ala untuk mengurniakan ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran, sebahagian daripada ayat 145: maksudnya, “Dan kami pula akan memberi balasan ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.”

Demikianlah sembah alu-aluan hamba Duli Tuanku. Sebelum hamba Duli Tuanku menjunjung anugeraha berundur diri, sekali lagi hamba Duli Tuanku menyembahkan sembah menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Tuanku.

Hamba Duli Tuanku seterusnya memohon perkenan menyembahkan sembah menjunjung kasih atas keberangkatan sama Paduka Adinda Duli Tuanku, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Hamba Duli Tuanku turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian tetamu terhormat, ibu bapa dan keluarga graduan, seluruh warga Institut serta semua pihak yang menjayakan majlis ini.

Pada mengakhiri sembah alu-aluan ini, hamba Duli Tuanku dengan rendah diri menyembahkan berbanyak-banyak menjunjung ampun bagi sebarang sembah dan suruk langkah yang tiada majalis sepanjang Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-14 pada pagi ini.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.