Wilayah Persekutuan lakar sejarah raih emas badminton berpasukan lelaki

20 Og 2026 - 11:26am

SHAH ALAM, 20 Ogos. - Wilayah Persekutuan mencipta sejarah apabila meraih pingat emas acara badminton berpasukan lelaki buat kali pertama pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, selepas menewaskan Pulau Pinang 3-1 dalam aksi final di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, hari ini.

Kemenangan itu turut menyaksikan Wilayah Persekutuan membalas dendam terhadap Pulau Pinang yang menewaskan mereka 3-0 pada final edisi 2018 di Perak, selain kekalahan 2-3 dalam pertemuan Kumpulan ‘B’ Isnin lepas.

Pasangan beregu kedua Wilayah Persekutuan Damien Ling Tang Le-Ethan Oh Joon Hui, muncul wira pasukan dengan menundukkan Chew Jun Hei-Nixon Ang Jia Shen 21-13, 22-24, 21-14 untuk memastikan emas menjadi milik Wilayah Persekutuan.

Sebelum itu, pemain perseorangan pertama Wilayah Persekutuan Erfan Majeed Hajibegy, menyumbang mata pembukaan selepas mengharungi pertarungan sengit selama 74 minit untuk menewaskan Tan Kean Wei 21-17, 11-21, 24-22.

Gandingan beregu pertama Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen kemudian menggandakan kelebihan Wilayah Persekutuan apabila menundukkan pasangan Tan Zhi Yang-Tiow Shi Qin 21-14, 21-16.

Pemain perseorangan kedua Lee Jan Jireh, merapatkan jurang buat Pulau Pinang selepas menewaskan Vincent Ma 22-20, 21-13 sebelum gandingan Damien-Ethan menyempurnakan misi dengan memastikan pingat emas badminton pertama pada edisi kali ini menjadi milik Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Erfan berkata beliau gembira kerana berjaya mengekalkan momentum pada peringkat kalah mati, dan menghadiahkan Wilayah Persekutuan kelebihan pada perlawanan pembukaan selepas tewas dalam semua aksi pada peringkat kumpulan.

Pemain berusia 20 tahun itu, bagaimanapun tidak mahu terlalu dibuai kegembiraan dengan kejayaan pasukan kerana mahu segera mengalihkan tumpuan kepada saingan individu yang bermula esok.

Jurulatih Wilayah Persekutuan Celestine George berkata beliau gembira selepas berjaya membimbing pasukan meraih pingat emas selepas sekadar muncul naib juara pada edisi 2018.

Celestine memuji usaha secara kolektif anak buahnya dalam menghadiahkan pingat emas sulung dan berharap mereka mampu meneruskan momentum berkenaan pada edisi akan datang.

Sementara itu, Melaka meraih pingat gangsa selepas menewaskan Kedah 3-1.

SUKMA Selangor 2026 yang membuka tirai pada 15 Ogos akan berlangsung hingga 24 Ogos. - ©BERNAMA