Vozinha sertai Colo-Colo hingga akhir musim 2026

4 Og 2026 - 6:51am

SANTIAGO, 4 Ogos. - Kelab bola sepak Chile, Colo-Colo, mengesahkan menandatangani penjaga gol antarabangsa Cabo Verde, Vozinha, bagi memperkukuh skuad sehingga penghujung musim domestik Chile 2026.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu melengkapkan pemeriksaan kesihatan sebelum menandatangani kontrak di ibu pejabat Colo-Colo di Santiago.

Menerusi hantaran di media sosial, kelab berkenaan memaklumkan bahawa Presiden Colo-Colo, Anibal Mosa, turut menyaksikan majlis menandatangani kontrak tersebut.

Vozinha menyertai Colo-Colo sebagai ejen bebas selepas menamatkan kontraknya bersama kelab divisyen kedua Portugal, Chaves, pada Jun lalu.

Walaupun butiran kontrak tidak didedahkan, media tempatan melaporkan perjanjian itu berkuat kuasa sehingga Disember ini dengan pilihan untuk dilanjutkan selama setahun lagi.

Vozinha mencuri perhatian pada Piala Dunia yang berlangsung pada Jun dan Julai lalu apabila membantu Cabo Verde mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan negara itu.

Perjalanan Cabo Verde berakhir pada pusingan 32 terbaik selepas memberi tentangan sengit kepada Argentina sebelum tewas 3 - 2 dalam masa tambahan.

Sepanjang kejohanan itu, Vozinha turut mencatat dua perlawanan tanpa bolos, masing-masing ketika seri menentang juara dunia, Sepanyol, serta ketika berdepan Arab Saudi pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Pengumuman perpindahannya ke Colo-Colo dibuat minggu lalu, namun proses tersebut tertangguh berikutan masalah visa dan urusan peribadi.

Ketika ini, Colo-Colo mendahului carta Liga Chile dan sedang memburu kejuaraan liga ke-35 dalam sejarah kelab. - ©XINHUA