Ukiran burung daripada gading berusia 40,000 tahun ditemukan di gua Republik Persekutuan Jerman

30 Jul 2026 - 12:11pm

TÜBINGEN (REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN), 30 Julai. - Dua ukiran kecil berbentuk burung yang diperbuat daripada gading dan dipercayai berusia kira-kira 40,000 tahun ditemukan di sebuah gua di Republik Persekutuan Jerman yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, lapor Agensi Akhbar Jerman (DPA).

Penemuan itu dibuat di Gua Hohle Fels, yang bermaksud ‘Batu Berongga’, di Pergunungan Alps Swabia berhampiran bandar Ulm.

Pengarah ekskavasi Nicholas Conard dari Jabatan Prasejarah dan Sejarah Awal Universiti Tübingen menyifatkan ukiran berkenaan sebagai ‘penemuan terbaik tahun ini’.

Menurut penyelidik, satu daripada ukiran itu menggambarkan seekor burung yang sedang berehat dan mungkin berada di sarang.

Ukiran kedua pula menunjukkan seekor burung dengan sayap terkembang. Bagaimanapun, sayap kirinya patah dan tidak dapat dipulihkan kerana serpihan yang hilang masih belum ditemukan.

Kedua-dua ukiran itu ditemukan dalam lapisan tanah yang dikaitkan dengan kebudayaan Aurignacian, iaitu masyarakat manusia awal yang hidup di Eropah kira-kira 40,000 tahun lalu.

Ukiran burung bersayap itu hanya berukuran dua sentimeter panjang, satu sentimeter lebar dan 0.5 sentimeter tinggi.

Ia dipercayai sebagai karya seni Zaman Ais paling kecil pernah ditemukan di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO berkenaan.

Kedua-dua ukiran itu juga sangat ringan, masing-masing seberat 1.3 gram dan 0.7 gram.

Fungsi sebenar ukiran itu masih belum diketahui. Penyelidik membuat andaian ia mungkin digunakan sebagai azimat peribadi atau lambang identiti sesuatu kumpulan.

Kira-kira 25 tahun lalu, ahli arkeologi turut menemukan ukiran burung di gua yang sama. - ©BERNAMA