KAHERAH/ISTANBUL, 5 Okt. - Pemimpin Mesir, Sudan, Eritrea dan Somalia pada Ahad berhimpun dalam sidang kemuncak di bandar pesisir El Alamein, Mesir, dengan menolak tindakan sepihak yang boleh menjejaskan hak air Mesir dan Sudan di tengah-tengah pertikaian kedua-dua negara dengan Ethiopia berhubung empangan Grand Ethiopian Renaissance Dam (GERD), lapor Anadolu Ajansi.
Presiden Mesir Abdel Fattah El Sisi, Presiden Majlis Kedaulatan Peralihan Sudan Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan, Presiden Eritrea Isaias Afwerki dan Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud turut menolak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara di rantau itu "atas apa jua alasan", menurut Deklarasi Bersama El Alamein yang dikeluarkan selepas sidang kemuncak itu.
Deklarasi itu menegaskan sokongan terhadap kedaulatan, keutuhan wilayah dan institusi Sudan, selain menolak "penubuhan sebarang entiti selari".
Ia turut menggesa supaya proses politik milik Sudan dan diterajui Sudan disambung semula, selain menyokong institusi kebangsaan serta menolak sebarang sokongan kepada tentera upahan.
Sidang kemuncak itu turut menegaskan semula sokongan terhadap perpaduan dan kedaulatan Somalia serta menolak sebarang campur tangan yang mengancam keutuhan wilayahnya. Ia juga menolak sebarang pengiktirafan atau sokongan terhadap "entiti yang digelar Somaliland".
Keempat-empat negara menegaskan prinsip kebebasan pelayaran dan menyatakan bahawa tadbir urus Laut Merah merupakan tanggungjawab eksklusif negara-negara pinggir laut berkenaan.
Mesir, antara negara pinggir Laut Merah, berulang kali menyuarakan bantahan tahun ini terhadap usaha Ethiopia mendapatkan laluan maritim ke Laut Merah. Ethiopia merupakan negara tanpa pantai sejak Eritrea mencapai kemerdekaan pada 1993 dan tidak mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk mendapatkan akses sedemikian. Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed terus memperjuangkan isu itu sejak memegang jawatan pada 2018.
Ethiopia berkongsi sempadan darat dengan enam negara iaitu Eritrea, Djibouti, Somalia, Kenya, Sudan dan Sudan Selatan.
Pada 1 Jan 2024, Ethiopia menandatangani memorandum persefahaman dengan Somaliland yang membuka jalan kepada pembinaan pangkalan tentera dan pembangunan sebuah pelabuhan di Laut Merah. Presiden Somalia Mohamud kemudiannya memberitahu Parlimen bahawa memorandum itu menyalahi undang-undang, merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dilaksanakan.
Keempat-empat negara menegaskan penolakan mereka terhadap "sebarang tindakan sepihak yang menjejaskan penggunaan air sedia ada oleh dua negara hilir Sungai Nil".
Mesir dan Sudan, dua negara hilir Sungai Nil, terbabit dalam pertikaian dengan Ethiopia yang terletak di hulu berhubung pembinaan empangan di sungai itu serta keengganannya menandatangani perjanjian mengikat yang mengawal proses pengisian dan operasi empangan berkenaan. Mesir bimbang projek itu boleh menjejaskan peruntukan air tahunannya sebanyak 55.5 bilion meter padu.
Keempat-empat pemimpin turut bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak itu "secara berkala dan apabila diperlukan bagi meningkatkan rundingan serta penyelarasan antara mereka".
Pada Khamis, Ethiopia memutuskan hubungan dengan Eritrea dan mengusir seorang diplomat Mesir, sekali gus mencetuskan tindakan balas daripada kedua-dua negara.
Perkembangan itu berlaku ketika Ethiopia berdepan krisis susulan peningkatan serangan pada akhir September oleh Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF), yang menentang kerajaan Abiy, serta tindakan kumpulan itu merampas beberapa lapangan terbang.
Addis Ababa menuduh negara jirannya Eritrea serta Mesir menyokong kumpulan itu. Kedua-dua negara berulang kali menafikan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain. - ©BERNAMA