MOSCOW, 15 Nov. - Ribuan orang turun ke jalanan di Paris bagi membantah kenaikan harga barang dan keganasan polis pada Sabtu, lapor Sputnik/RIA Novosti. Penunjuk perasaan memulakan perarakan di Place de la Republique sebelum bergerak menuju ke Place de la Nation.
Mereka membawa sepanduk dan bendera manakala seorang peserta demonstrasi memukul dram bagi mengiringi rentak perarakan. Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri Perancis Laurent Nunez berkata kira-kira 50 hingga 60 siri protes dijangka berlangsung di seluruh negara pada 14 Nov.
Protes di Perancis bermula pada pertengahan September apabila pelajar sekolah menengah di kawasan pinggir bandar Paris turun ke jalanan bagi menuntut penambahbaikan terhadap sekolah mereka. Mereka kemudian disertai golongan yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga barang, sebelum demonstrasi itu merebak ke wilayah lain.
Demonstrasi terbesar di seluruh negara berlangsung pada 17 Okt. Menurut Kementerian Dalam Negeri, kira-kira 550,000 orang mengambil bahagian dalam demonstrasi itu.
Pasukan penguat kuasa undang-undang Perancis menggunakan gas pemedih mata, bom tangan pegun dan meriam air terhadap penunjuk perasaan. - ©BERNAMA