Republik Islam Iran, Republik Islam Pakistan bincang hidupkan semula perkhidmatan kereta api kargo ITI

23 Jul 2026 - 2:41pm

HYDERABAD, 23 Julai. - Republik Islam Pakistan dan Republik Islam Iran sedang meneliti usaha menghidupkan semula perkhidmatan kereta api kargo Islamabad-Tehran-Istanbul (ITI) bagi menggalakkan kesalinghubungan serantau dan perdagangan yang lebih kukuh.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Kereta Api Republik Islam Pakistan, Muhammad Hanif Abbasi dan Menteri Dalam Negeri Republik Islam Iran, Eskandar Momeni di Islamabad pada Rabu.

"Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pengoperasian semula koridor ITI akan meningkatkan perdagangan antara Pakistan, Iran dan Turkiye dengan ketara, di samping memperkukuh kesalinghubungan serantau dengan Asia Tengah, Rusia dan Eropah," menurut kenyataan kerajaan Pakistan.

Perkhidmatan kereta api kargo ITI disambung semula pada Disember 2021 selepas terhenti selama sedekad, namun digantung pada 2022 berikutan pelbagai isu termasuk masalah logistik dan operasi.

Menurut kenyataan itu, perbincangan antara Abbasi dan Momeni turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor kereta api, kesalinghubungan rentas sempadan, integrasi serantau, perdagangan serta kerjasama ekonomi.

Pakistan kini menaik taraf Laluan Utama-3 (ML-3), yang menghubungkan wilayah Sindh dan Balochistan selain menjadi koridor kereta api utama yang menghubungkan negara itu dengan Republik Islam Iran.

Abbasi berkata kerja-kerja projek itu dijangka bermula pada tahun kewangan semasa dan dijadual siap menjelang Disember 2029.

Momeni pula berkata Republik Islam Iran dijangka menyiapkan kerja-kerja pemodenan landasan kereta api Zahedan-Mirjaveh dalam tempoh sebulan. Beliau turut menggesa Republik Islam Pakistan menyiapkan landasan kereta api tolok piawai dari Mirjaveh ke Taftan di Balochistan bagi memastikan operasi kereta api rentas sempadan berjalan lancar, menurut Agensi Berita IRNA. - ©BERNAMA