JAKARTA, 5 Okt. - Republik Indonesia mempertingkat langkah kawalan antraks dalam kalangan ternakan di Gunungkidul, Yogyakarta selepas ujian makmal mendapati beberapa sampel yang diambil dari sebuah kampung positif Bacillus anthracis, iaitu bakteria yang menyebabkan penyakit itu.
Pengarah Kesihatan Haiwan Kementerian Pertanian Hendra Wibawa berkata siasatan epidemiologi dijalankan di Kampung Dadapayu pada 11 September lepas, disusuli penyahjangkitan di kandang ternakan yang terjejas serta rawatan terhadap haiwan berkenaan pada keesokan harinya.
Beliau berkata antibiotik dan vitamin diberikan kepada 88 ekor kambing dan 11 ekor lembu pada 14 September, manakala vaksinasi antraks bagi ternakan di kawasan sekitar bermula pada 28 September selepas tempoh rawatan antibiotik berakhir.
"Tindakan diambil secara bersepadu. Pegawai kesihatan haiwan dan pihak berkuasa tempatan telah menjalankan siasatan epidemiologi, menyediakan perkhidmatan kesihatan ternakan, melaksanakan penyahjangkitan dan vaksinasi serta menjalankan pemeriksaan makmal," katanya dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa pemantauan masih diteruskan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia, antraks ialah penyakit zoonotik serius yang terutamanya menjejaskan ternakan dan haiwan liar, namun boleh juga berjangkit kepada manusia melalui haiwan yang dijangkiti atau produk haiwan yang tercemar.
Hendra berkata individu yang mempunyai sejarah terdedah kepada ternakan atau produk haiwan yang terjejas telah menerima rawatan dan ubat profilaktik daripada pihak berkuasa kesihatan, manakala baki daging yang belum dimasak atau dimakan telah dimusnahkan mengikut prosedur.
Beliau menggesa penduduk supaya tidak menyembelih, memproses, mengedar atau memakan ternakan yang sakit atau mati secara mengejut serta segera melaporkan kes sedemikian kepada pegawai kesihatan haiwan. - ©BERNAMA