Polis Australia siasat kerosakan bangunan kerajaan di Canberra

5 Okt 2026 - 12:16pm

CANBERRA, 5 Okt. - Polis Australia sedang menyiasat kerosakan pada dua bangunan kerajaan di Canberra selepas bebola galas dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin tingkap bangunan berkenaan.

Polis Wilayah Ibu Negara Australia (ACT Policing) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang mendapatkan saksi serta maklumat berkaitan kejadian tersebut.

Kedua-dua insiden berlaku di bangunan yang terletak di Emu Bank dan Benjamin Way, di daerah Belconnen, utara Canberra, antara jam 7 malam hingga 9.30 malam waktu tempatan pada Khamis.

Menurut polis, bebola galas dipercayai digunakan untuk merosakkan cermin hadapan premis di kedua-dua lokasi. Tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut Australian Broadcasting Corporation (ABC), salah sebuah bangunan yang terjejas menempatkan pejabat Housing ACT.

Kakitangan yang berada di dalam bangunan berkenaan diarahkan untuk berlindung sementara susulan kejadian itu, manakala pejabat tersebut ditutup pada Jumaat.

Polis kini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk rakaman kamera papan pemuka (‘dashcam’) di kawasan berkenaan ketika insiden berlaku, untuk tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang melihat individu atau kenderaan mencurigakan turut diminta menghubungi pihak polis. Siasatan masih diteruskan. - ©XINHUA