GUANGZHOU, 5 Okt. - Sekumpulan penyelidik dari institusi Republik Rakyat China dan Britain berjaya membangunkan sistem pengecasan tanpa wayar untuk kenderaan tenaga baharu (NEV) dengan kecekapan penukaran melebihi 98 peratus.
Sistem berkenaan berpotensi menyokong penggunaan kenderaan autonomi secara berskala besar, selain boleh diaplikasikan dalam sektor lain termasuk transit rel, robot industri dan pesawat altitud rendah.
Pengecasan automatik sepenuhnya tanpa memerlukan campur tangan manual dilihat sebagai antara keperluan penting bagi menyokong penggunaan komersial kenderaan autonomi.
Dalam hal ini, pemindahan kuasa secara induktif dianggap sebagai salah satu kaedah yang sesuai untuk merealisasikan sistem pengecasan sedemikian.
Bagaimanapun, sistem konvensional berasaskan teras ferit berdepan cabaran dari segi kecekapan, ketumpatan kuasa dan kestabilan terma.
Usaha meningkatkan ketumpatan kuasa serta kestabilan terma sambil mengekalkan kecekapan tinggi menjadi antara cabaran utama dalam pembangunan teknologi pengecasan tanpa wayar.
Penyelidik dari Dongguan Institute of Materials Science and Technology di Wilayah Guangdong, selatan Republik Rakyat China, di bawah Chinese Academy of Sciences (CAS), bekerjasama dengan City University of Hong Kong, University of Cambridge serta Institute of Physics di bawah CAS dalam membangunkan sistem pengecasan tanpa wayar kelas 20 kilowatt (kW) untuk NEV.
Berlandaskan aloi nanohablur, sistem berkenaan mencapai kecekapan penukaran sebanyak 98.51 peratus.
Kajian yang baru-baru ini diterbitkan dalam jurnal Nature Communications itu memperincikan struktur teras magnet yang menyerupai jejambat, sekali gus direka bagi memenuhi keperluan operasi pengecasan tanpa wayar pada suhu tinggi untuk tempoh yang panjang.
Jalur teras magnet yang dihasilkan pasukan berkenaan berukuran 440 milimeter panjang, 330 milimeter lebar dan empat milimeter tebal.
Ketebalannya hanya separuh daripada penyelesaian konvensional berasaskan ferit, namun mampu menampung ketumpatan kuasa yang lebih tinggi.
Prestasi sistem tersebut dijangka terus dioptimumkan bagi meningkatkan lagi kecekapan pengecasan, manakala Dongguan Institute of Materials Science and Technology turut giat mengusahakan penerapan teknologi berkenaan ke peringkat industri.
Menurut institut itu, sistem berkenaan bukan sahaja berpotensi digunakan bagi kenderaan autonomi, malah boleh diperluaskan kepada aplikasi transit rel, kenderaan berpandu automatik (AGV) industri dan pesawat altitud rendah.
Sementara itu, pada September lalu, Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China bersama lapan jabatan kerajaan lain mengumumkan pelan lima tahun bagi industri NEV berhubung pintar dan bersambung bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Pelan tersebut menetapkan sasaran agar kenderaan yang dilengkapi fungsi pemanduan autonomi mencapai penggunaan secara berskala besar di Republik Rakyat China menjelang 2030.
Penggunaan fungsi pemanduan automatik tahap tinggi turut disasarkan bagi beberapa keadaan, termasuk lebuh raya, lebuh raya bandar serta sebahagian jalan raya bandar. - ©XINHUA