Pemimpin Pakistan, Bangladesh setuju perkukuh hubungan dua hala

26 Sep 2026 - 10:34am

HYDERABAD, 25 Sept. - Pakistan dan Bangladesh bersetuju memperkukuh hubungan dua hala selepas perdana menteri kedua-dua negara bertemu pada Khamis di luar sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam hantaran di X menyifatkan pertemuannya dengan rakan sejawatannya Tarique Rahman sebagai “pertemuan yang mesra dan sangat akrab.”

Shehbaz menegaskan semula “komitmen Pakistan untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang saling menguntungkan,” manakala Tarique turut menyatakan hasrat kerajaannya untuk meningkatkan hubungan Bangladesh-Pakistan, menurut kenyataan kerajaan Pakistan.

“Kedua-dua perdana menteri menegaskan semula komitmen mereka untuk terus memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan, pendidikan, pelancongan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global serta menekankan kepentingan penyelarasan berterusan di forum pelbagai hala, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” menurut kenyataan itu.

Tarique dan Shehbaz turut menekankan kepentingan membangunkan hubungan Bangladesh-Pakistan berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman dan kerjasama, lapor agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan keperluan komunikasi dan dialog secara berkala mengenai isu berkepentingan bersama.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Pertahanan Khawaja Asif hadir pada pertemuan itu, manakala Perdana Menteri Bangladesh diiringi Menteri Kewangan Amir Khosru Mahmud Chowdhury, Menteri Luar Khalilur Rahman dan Menteri Negara Humayun Kabir.

Hubungan Bangladesh dan Pakistan menyaksikan peningkatan ketara sejak pentadbiran Sheikh Hasina di Dhaka digulingkan menerusi kebangkitan rakyat pada Ogos 2024.

Kedua-dua negara turut memulihkan jaringan penerbangan dan perkapalan secara langsung serta meningkatkan interaksi peringkat tinggi. - ©BERNAMA