Inflasi jejas kemampuan rakyat Republik Turkiye bercuti musim panas

23 Jul 2026 - 2:39pm

ANKARA, 23 Julai. - Ketika Republik Türkiye terus menarik kedatangan pelancong antarabangsa sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia, ramai rakyat negara itu pula terpaksa melupakan percutian musim panas berikutan inflasi yang berterusan menjadikan kos percutian semakin sukar ditanggung.

Tinjauan terbaharu oleh firma penyelidikan MetroPOLL mendapati hanya 24.4 peratus responden merancang untuk bercuti pada musim panas tahun ini, manakala 47.3 peratus menyatakan kekangan kewangan sebagai sebab utama mereka tidak melancong. Kira-kira 61 peratus pula berpendapat harga percutian domestik telah meningkat jauh melebihi paras yang munasabah.

Keadaan itu selaras dengan situasi ekonomi semasa. Walaupun kadar inflasi menurun daripada kemuncaknya melebihi 85 peratus pada Oktober 2022 kepada sekitar 32 peratus bulan lalu, kuasa beli rakyat masih terjejas, menyebabkan kebanyakan isi rumah mengutamakan perbelanjaan keperluan asas berbanding aktiviti rekreasi.

Menurut penggiat industri pelancongan, Murat Toktas, industri pelancongan Republik Türkiye kini menyaksikan dua situasi yang berbeza.

“Hotel-hotel di kawasan pantai dipenuhi pelancong antarabangsa, namun permintaan daripada pelancong tempatan jauh lebih rendah berbanding sebelum lonjakan inflasi. Pelancong asing mendapat manfaat daripada nilai mata wang yang lebih kukuh, manakala rakyat Türkiye telah bertahun-tahun berdepan peningkatan kos sara hidup,” katanya kepada Xinhua.

Beliau berkata peningkatan kos operasi termasuk penginapan, makanan, pengangkutan dan tenaga telah menyebabkan harga percutian meningkat, sekali gus memaksa ramai penduduk tempatan memendekkan tempoh percutian, memilih destinasi yang lebih dekat atau menangguhkan rancangan melancong.

Seorang pekerja tekstil berusia 46 tahun yang menerima gaji minimum, Hamit Yarar, berkata keluarganya sudah beberapa tahun tidak menikmati percutian di tepi pantai.

“Selepas membayar sewa rumah, bil utiliti dan membeli barang keperluan harian, hampir tiada wang yang berbaki. Percutian di pantai kini sekadar sesuatu yang kami lihat dalam iklan. Anak-anak sering bertanya bila kami akan ke pantai. Saya berharap suatu hari nanti kami mampu, tetapi buat masa ini keperluan harian lebih utama,” katanya.

Tinjauan MetroPOLL turut menunjukkan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar apabila golongan berpendapatan tinggi lebih berkemampuan untuk bercuti, sekali gus mencerminkan bagaimana inflasi telah meningkatkan jurang akses kepada aktiviti rekreasi.

Walaupun berdepan cabaran semasa, Toktas optimis sektor pelancongan domestik akan kembali pulih sekiranya kadar inflasi terus menurun dan kuasa beli isi rumah bertambah baik.

“Keinginan untuk melancong tidak pernah hilang. Orang ramai hanya terpaksa membuat pilihan kewangan yang sukar. Apabila pendapatan kembali pulih dengan lebih ketara, pelancongan domestik juga akan kembali berkembang,” katanya. - ©XINHUA