Hospital terapung UAE bekalkan anggota prostetik kepada 51 rakyat Palestin

29 Jul 2026 - 12:17pm

AL ARISH (MESIR), 29 Julai. - Hospital terapung Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Al Arish, Mesir membekalkan anggota prostetik kepada 51 rakyat Palestin yang kehilangan anggota badan menerusi Program ‘Step of Hope’ di bawah Operasi Chivalrous Knight 3, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Program itu mencerminkan komitmen berterusan UAE dalam menyediakan rawatan perubatan dan khidmat pemulihan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat krisis di Semenanjung Gaza.

‘Step of Hope’ menyediakan sistem rawatan dan pemulihan bersepadu yang merangkumi penilaian perubatan, penghasilan serta penyesuaian anggota prostetik, fisioterapi, latihan pergerakan dan pemantauan susulan.

Usaha itu bertujuan membantu pesakit menyesuaikan diri dengan anggota prostetik, memulihkan keupayaan bergerak serta kembali menjalani kehidupan seharian.

Setiap pesakit turut menerima pelan fisioterapi dan pemulihan khusus berdasarkan keadaan masing-masing, dengan pakar perubatan terus memberikan rawatan bagi memastikan hasil pemulihan yang optimum.

Program itu disokong beberapa pertubuhan kemanusiaan UAE termasuk International Charity Organisation, Sharjah Charity International, The Big Heart Foundation dan Dar Al Ber Society.

Kerjasama berkenaan mencerminkan pendekatan UAE dalam menyatukan usaha kemanusiaan serta memperkukuh perkongsian bagi membantu rakyat Palestin dan meringankan penderitaan mereka.

Hospital terapung UAE terus menawarkan perkhidmatan perubatan dan pemulihan khusus menerusi kemudahan moden serta pasukan perubatan pakar.

Usaha itu menegaskan komitmen UAE untuk menyediakan penjagaan kesihatan menyeluruh, meningkatkan kualiti hidup pesakit serta membantu mereka kembali menjalani kehidupan bermasyarakat. - ©BERNAMA