BOGOTA (Colombia), 5 Okt. - Senator Flavio Bolsonaro mendahului dalam pilihan raya presiden Brazil dengan memperoleh 49.58 peratus undi, mengatasi penyandang Presiden Luiz Inacio Lula da Silva yang meraih 42.25 peratus, menurut keputusan awal yang dikeluarkan Mahkamah Pilihan Raya Tinggi pada Ahad.
Angka itu berdasarkan 64.81 peratus undi yang telah dikira, lapor Anadolu Ajansi (AA). Proses penjumlahan undi bermula selepas pusat pengundian ditutup, manakala pengundi yang sudah beratur masih dibenarkan menunaikan tanggungjawab mengundi.
Lebih 158.7 juta pengundi layak mengambil bahagian dalam pilihan raya itu, yang turut melibatkan pemilihan gabenor, anggota Senat dan Dewan Rakyat. Pilihan raya itu menyaksikan persaingan antara Lula, 80, dengan Flavio Bolsonaro, 45, anak sulung bekas Presiden Jair Bolsonaro.
Lula, pemimpin veteran berhaluan kiri, berusaha untuk memenangi penggal keempat yang tidak berturut-turut selepas kembali memegang jawatan presiden pada 2023. Kempen pilihan raya berlangsung di tengah-tengah polarisasi politik yang mendalam serta ketegangan antara penyokong Lula dan kem Bolsonaro.
Pilihan raya itu turut dibayangi perdebatan mengenai hubungan Brazil dengan Amerika Syarikat (AS) serta dakwaan kemungkinan campur tangan asing.
Undang-undang pilihan raya Brazil menetapkan calon perlu memperoleh lebih 50 peratus undi sah untuk menang pada pusingan pertama. Jika tiada calon mencapai ambang itu, dua calon teratas akan mara ke pusingan kedua yang dijadualkan pada 25 Okt. - ©BERNAMA