23 maut dalam kemalangan babitkan bas mini, lori di selatan Brazil

20 Og 2026 - 11:22am

RIO DE JANEIRO, 20 Ogos. - Seramai 23 orang maut selepas sebuah bas mini yang membawa pesakit terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di lebuh raya persekutuan di  negeri Parana  pada awal Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).

"Dapatan awal menunjukkan lori itu mungkin memasuki lorong bertentangan sebelum berlanggar secara berdepan dengan bas mini berkenaan," menurut portal berita G1 yang memetik Polis Lebuh Raya Persekutuan Brazil.

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Menurut pihak berkuasa, nahas itu berlaku berhampiran Ipiranga di kawasan Campos Gerais, mengorbankan 13 wanita, lapan lelaki dan dua kanak-kanak, termasuk pemandu lori.

Seramai lima lagi individu  cedera dan dibawa ke hospital, menurut Sekretariat Keselamatan Awam Negeri Parana.

Bas mini itu dilaporkan milik perkhidmatan kesihatan dan sedang membawa pesakit ke hospital di kawasan metropolitan Curitiba, kira-kira 200 kilometer dari lokasi berkenaan.

Lokasi nahas ditutup sepenuhnya selama beberapa jam.

Kerajaan Negeri Parana  mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari. - ©BERNAMA