Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman
Foto : Ihsan Brazilian Football Academy
USAHA memperkasakan pembangunan bola sepak perlu bermula dari akar umbi sebagai landasan melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa hadapan. Melalui program latihan, kejohanan dan akademi yang memberi tumpuan kepada golongan kanak-kanak serta remaja, bakat baharu dapat dikenal pasti dan digilap sejak usia muda. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuhkan pembangunan sukan bola sepak negara, malah menyemai budaya hidup aktif dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda.
Pendedahan awal kepada bola sepak memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali asas permainan sejak usia muda. Pada peringkat ini, mereka bukan sahaja mempelajari teknik asas seperti mengawal bola, membuat hantaran, menjaringkan gol dan memahami taktikal permainan, malah turut dididik mengenai nilai disiplin, kerjasama, semangat kesukanan, kepimpinan dan sikap saling menghormati. Nilai-nilai inilah yang membentuk sahsiah pemain sekali gus menjadikan mereka individu yang lebih berdaya saing di dalam dan luar padang.
Selain melahirkan pemain berbakat, pembangunan akar umbi turut membantu membentuk budaya sukan yang sihat dalam kalangan masyarakat. Penglibatan aktif kanak-kanak dan remaja dalam aktiviti bola sepak dapat menggalakkan gaya hidup aktif, mengurangkan kebergantungan kepada gadget serta mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat. Pada masa yang sama, penyertaan ibu bapa dan komuniti dalam menyokong program-program pembangunan bola sepak mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuhkan semangat bermasyarakat secara amnya.
Di Negara Brunei Darussalam (NBD), terdapat beberapa akademi bola sepak yang ditubuhkan untuk membangunkan bola sepak dari akar umbi. Salah satunya adalah Brazilian Football Academy (BFA). Pelita Brunei berkesempatan menemu bual Pengasas Bersama BFA iaitu Eduardo Peixoto yang juga merupakan Ketua Jurulatih BFA.
Beliau berasal dari Brazil dan telah meminati bola sepak sejak kecil lagi. Bola sepak telah membentuk kehidupan beliau, bukan sahaja sebagai seorang pemain dan jurulatih, tetapi juga sebagai seorang insan, beliau berasa amat bertuah kerana dapat membina kerjaya dalam bidang yang paling beliau suka iaitu bermain, mengajar dan berkongsi nilai-nilai murni bola sepak dengan orang lain.
Bersama isteri beliau, yang juga merupakan seorang jurulatih bola sepak, mereka menubuhkan BFA dengan visi yang jauh lebih besar daripada sekadar membuka sebuah akademi bola sepak. Mereka mahu membina sebuah tempat di mana setiap orang berasa diterima dan mempunyai peluang untuk berkembang tanpa mengira latar belakang keluarga, bangsa, jantina, kewarganegaraan atau keadaan kewangan mereka. Di BFA, ‘More Than a Team, A Família’ adalah identitinya.
“Sebagai Ketua Jurulatih, saya bertanggungjawab menyelia falsafah kejurulatihan akademi serta laluan pembangunan pemain dari peringkat akar umbi hingga ke tahap elit. Setiap program yang kami jalankan bukan sahaja bertujuan melahirkan pemain bola sepak yang lebih baik, malah individu yang lebih berkualiti. Kami percaya bola sepak mampu membentuk disiplin, rasa hormat, ketahanan mental, semangat berpasukan, kepimpinan dan keyakinan diri - nilai-nilai yang kekal sepanjang hayat,” tambah beliau.
Ditubuhkan pada tahun 2019 dan memulakan sesi latihan pertama pada 31 Januari 2020, BFA komited menyediakan pembangunan bola sepak yang berkualiti, tersusun dan inklusif berteraskan falsafah bola sepak Brazil yang menekankan aspek teknikal, kreativiti, taktikal serta pembangunan pemain secara menyeluruh.
Kini, BFA beroperasi setiap hari dan menawarkan pelbagai program kepada kanak-kanak, remaja, orang dewasa serta veteran. Sehingga kini, lebih 1,100 pemain telah menyertai program-programnya, termasuk latihan mingguan, kem bola sepak, Football Lab, Program Elit, pembangunan penjaga gol, latihan individu dan penyertaan dalam kejohanan tempatan serta antarabangsa.
Selain melahirkan pemain yang cemerlang, BFA turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dengan menerapkan nilai keyakinan, kepimpinan, disiplin, rasa hormat, ketahanan diri dan kecintaan terhadap bola sepak sepanjang hayat.
BFA menyasarkan kategori umur lima tahun sehingga dewasa, termasuk program khas untuk pemain dewasa dan veteran. Laluan pembangunan pemain muda akademi ini bermula daripada Kategori Bawah 6 Tahun, diikuti Bawah 8, Bawah 10, Bawah 12, Bawah 14, Bawah 16, dan seterusnya Program Elit.
Apabila pemain semakin meningkat usia, pendekatan latihan turut berkembang mengikut tahap umur, kemampuan dan perkembangan masing-masing.
Berbeza dengan kebanyakan akademi lain, komitmen BFA terhadap bola sepak tidak berakhir selepas peringkat remaja. Akademi ini turut menawarkan program untuk orang dewasa dan veteran kerana mereka percaya bola sepak ialah sukan sepanjang hayat yang mampu menyatukan masyarakat dan menggalakkan gaya hidup sihat.
Menurut Eduardo Peixoto, BFA menawarkan pelbagai program termasuk latihan Pembangunan dan Elit, pembangunan penjaga gol, latihan individu, bola sepak dewasa dan veteran, kem bola sepak, Football Lab, perlawanan persahabatan, liga dalaman, kejohanan serta penyertaan dalam pertandingan tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, BFA turut menganjurkan liga dan kejohanan sendiri bagi memberi lebih banyak pengalaman perlawanan kepada pemain serta mengukuhkan komuniti bola sepak tempatan.
Akademi ini juga aktif dalam program kemasyarakatan melalui latihan bola sepak percuma di Tutong, di samping melaksanakan inisiatif seperti Anugerah Pemain Terbaik Bulanan, Hari Keluarga dan BFA NextGen Leadership Programme yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan serta melahirkan jurulatih dan pemimpin bola sepak masa hadapan.
Dalam konteks pendekatan latihan di BFA, akademi ini percaya kepada pembangunan pemain secara jangka panjang, bukan kejayaan jangka pendek dan akademi ini tidak hanya membuat persiapan beberapa minggu sebelum kejohanan, sebaliknya membangunkan pemain secara konsisten sepanjang tahun.
Sementara itu, Program latihan BFA disusun mengikut umur dan tahap perkembangan pemain, bermula daripada Bawah 6 Tahun sehingga program Dewasa dan Veteran.
Program Bawah 6 Tahun memberi tumpuan kepada pergerakan asas, koordinasi, penguasaan bola, keyakinan diri serta keseronokan bermain bola sepak. Bagi pemain Bawah 8 hingga Bawah 16 Tahun, mereka boleh menyertai sama ada Program Pembangunan atau Program Elit bergantung kepada tahap kemampuan, komitmen dan perkembangan individu.
Apabila pemain meningkat usia, latihan menjadi lebih mencabar dengan penekanan kepada aspek teknikal, taktikal, membuat keputusan, pembangunan fizikal, kerjasama berpasukan dan persediaan perlawanan.
Objektif akademi ini bukan untuk mempercepatkan perkembangan pemain, tetapi memastikan setiap pemain berkembang mengikut kadar yang sesuai sehingga mencapai potensi sepenuhnya.
Selain pembangunan teknikal dan taktikal, BFA turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dengan menerapkan nilai disiplin, rasa hormat, keyakinan, kepimpinan, tanggungjawab, semangat berpasukan dan kesukanan dalam kalangan pemain.
Sejak memulakan latihan pada tahun 2020, antara pencapaian terbesar akademi ini ialah kejayaan pasukan Bawah 15 Tahun Elit menjuarai Liga Kebangsaan 2025 tanpa sebarang kekalahan, hasil pembangunan yang konsisten dan semangat berpasukan.
Menurut Eduardo Peixoto, BFA juga menerima sambutan yang amat positif daripada ibu bapa, pemain, sekolah dan rakan strategik. Sokongan tersebut menjadi pemangkin kepada akademi untuk terus meningkatkan mutu program serta mengekalkan persekitaran yang positif, mesra dan inklusif, sehingga BFA dianggap sebagai sebuah keluarga kedua oleh ramai ahlinya.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, Eduardo Peixoto berhasrat menjadikan BFA sebagai antara akademi pembangunan bola sepak terkemuka di NBD dan rantau ini melalui pelaburan berterusan dalam pembangunan jurulatih, laluan pembangunan pemain, program latihan serta peluang pertandingan di peringkat tempatan dan antarabangsa. BFA juga akan memperluaskan program biasiswa, projek komuniti, Football Lab dan BFA NextGen.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk memperkukuhkan kerjasama dengan kelab dan akademi luar negara menerusi kejohanan, perlawanan persahabatan, kem latihan, pendidikan jurulatih, program pertukaran pemain dan perkongsian ilmu. Menurutnya, pendedahan antarabangsa penting dalam meningkatkan pengalaman serta pembangunan pemain dan jurulatih.
Beliau juga optimis terhadap masa depan bola sepak remaja di NBD dan percaya pembangunan yang mampan memerlukan pelaburan berterusan dalam pendidikan jurulatih, pembangunan akar umbi, pertandingan berkualiti serta kerjasama erat antara akademi, sekolah, kelab dan organisasi bola sepak.
Ibu bapa yang berminat mendaftarkan anak-anak mereka di BFA boleh mengunjungi pejabat BFA di Peak Club Grandstand, menghubungi menerusi talian +673 811 4235, atau mengikuti Instagram @BFA_BN.